Correa pastikan Atletico konsisten

Correa - Foto Agensi
Correa - Foto Agensi
A
A
A

JARINGAN penghujung perlawanan Angel Correa membolehkan sensasi Sepanyol, Atletico Madrid meraih kemenangan keempat berturut-turut apabila menewaskan Real Betis 1-0 dalam aksi La Liga di Stadium Civitas Metropolitan.

Tiga mata diraih di bumi Madrid itu menyaksikan angkatan Diego Simeone melanjutkan rentak tanpa kalah dalam La Liga kepada 11 perlawanan.

Keputusan itu juga menyaksikan Atletico kini berada di tangga ketiga dengan 54 mata, enam di depan Real Sociedad dan lima di belakang Real Madrid, hampir untuk memastikan slot Liga Juara-Juara musim depan.

Sementara itu, Betis asuhan Manuel Pellegrini pula yang berada di tempat kelima dengan 45 mata juga giat berusaha memburu baki slot pentas Eropah.

Correa yang tampil sebagai pemain simpanan sebelum menjaringkan gol kemenangan lima minit sebelum tamat mengakui jaringan keenam peribadinya musim ini merupakan sesuatu yang terindah.

“Ya, sesungguhnya saya amat gembira dengan gol tersebut dan paling penting membantu pasukan meraih kemenangan.

“Kami sebelum perlawanan hadir dengan momentum positif hasil daripada beberapa kemenangan berturut-turut terdahulu. Pasukan ini bekerja dengan sangat baik dan kami berharap untuk terus seperti ini sehingga akhir musim,” kata Correa yang juga bintang Argentina itu.

Sementara itu, Simeone mengakui corak permainan skuad Pellegrini menghadirkan kesukaran kepada bahagian serangan untuk menjelmakan gol.

Selain itu bekas tonggak Argentina itu menegaskan semua percubaan menyerang tuan rumah dikecewakan pertahanan Betis yang mantap di sebalik kecemerlangan penjaga gol Rui Silva, yang mencatat enam penyelamatan.

“Apabila anda berdepan lawan yang bekerja dengan baik di bahagian pertahanan seperti Betis, Angel (Correa) adalah antara terbaik yang kami ada peranannya bersama kelab ini. Malah dia sentiasa ada, dan sentiasa terlibat dalam pasukan.

“Ia menggembirakan saya apabila dapat bentuk pasukan disaksikan penyokong yang datang untuk melihat pasukan mereka bermain sepenuh jiwa. Pemain telah melakukan tugas untuk penyokong kelab,” kata Simeone.

Isnin ini, Atletico berdepan Rayo Vallecano, manakala Betis menjadi tuan rumah kepada Cadiz yang diancam penyingkiran pada Ahad.