Usahawan tani didakwa beri pinjaman wang tanpa lesen

Hoe Kian Lim (tengah) ketika diiring polis di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pada Isnin.
Hoe Kian Lim (tengah) ketika diiring polis di Mahkamah Sesyen Kuala Pilah pada Isnin.
A
A
A

KUALA PILAH – Seorang usahawan tani dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin atas pertuduhan memberi pinjaman wang tanpa lesen bernilai ratusan ribu ringgit kepada seorang individu dua tahun lalu.

Tertuduh, Hoe Kian Lim, 52, bagaimanapun mengaku tidak bersalah di hadapan Hakim, Norma Ismail selepas kertas pertuduhan dibacakan.

Mengikut pertuduhan, antara 16 September 2020 hingga 18 April 2021 di Ladang Geddes, Jempol telah menjalankan perniagaan sebagai pemberi pinjaman wang tanpa lesen kepada seorang lelaki warga emas dengan jumlah RM474,000.

Berikutan itu tertuduh didakwa mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang (APPW) 1951 yang memperuntukkan hukuman denda tidak kurang RN250,000 hingga RM1 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Amirul Noor Hashimi tidak menawarkan sebarang wang jaminan, namun sekiranya mahkamah membenarkan beliau memohon ditetapkan nilai yang tinggi.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam dalam rayuannya menyatakan ingin menyelesaikan kes itu dengan sempurna, selain meminta jaminan memandangkan mempunyai dua anak yang masih bersekolah.

Norma kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM30,000 dengan seorang penjamin, selain syarat tambahan iaitu tidak mengganggu saksi atau mangsa dan sekiranya perkara itu berlaku, jaminan akan ditarik balik

Mahkamah menetapkan 3 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.