Pencarum KWSP boleh buat pinjaman bank mulai 7 April

Ahli KWSP yang layak boleh membuat pinjaman bank bermula 7 April ini.
Ahli KWSP yang layak boleh membuat pinjaman bank bermula 7 April ini.
A
A
A

SHAH ALAM - Pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 40 tahun ke atas layak membuat pinjaman bank bermula 7 April ini dengan syarat mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2.

KWSP dalam kenyataan berkata, dua bank menyediakan kemudahan pinjaman itu iaitu Bank Simpanan Nasional (BSN) dan MBSB Bank serta akan mempertimbangkan untuk menambah lebih banyak bank yang mengambil bahagian pada masa hadapan.

Menurutnya, pinjaman itu ditawarkan dengan kadar faedah (Konvensional) atau kadar keuntungan (Islamik) adalah antara empat hingga lima peratus iaitu lebih rendah berbanding kadar pasaran semasa iaitu lapan hingga 15 peratus.

Tambah KWSP, jumlah pembiayaan maksimum telah ditetapkan pada RM50,000 tertakluk kepada baki Akaun 2 KWSP, dengan tempoh pembayaran balik sehingga 10 tahun.

Perkara itu dimaklumkan KWSP setelah memperincikan mekanisme, terma dan syarat bagi Fasiliti Sokongan Akaun 2 (FSA2) yang merupakan kemudahan bagi membantu ahlinya mendapatkan pembiayaan peribadi daripada institusi perbankan.

Menurut KWSP, simpanan dalam Akaun 2 hanya boleh digunakan untuk membayar pembiayaan peribadi menerusi permohonan awal Pengeluaran Bersyarat Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, berdasarkan pengeluaran sedia ada yang dibenarkan di bawah Akta KWSP 1991 (Akta).

“Bagaimanapun, pengeluaran ini adalah bersyarat di mana pembayaran akan hanya dibuat kepada institusi perbankan apabila ahli telah mencapai umur 50 hingga 55 tahun, seperti yang termaktub dalam Akta.

“Pihak bank akan mentadbir sepenuhnya proses permohonan untuk pembiayaan peribadi melalui kemudahan ini, tertakluk kepada penilaian pembiayaan dan rangka kerja kredit mereka.

“Permohonan pembiayaan peribadi ini boleh dibuat secara dalam talian melalui institusi perbankan yang mengambil bahagian,” katanya pada Isnin.

Tambah KWSP, sebelum membuat permohonan, ahli perlu membuat semakan awal kelayakan dalam Akaun 2 dan ia hendaklah dilakukan mengikut terma serta syarat yang dipersetujui dengan institusi perbankan.

BSN antara bank yang menyediakan kemudahan pinjaman untuk pencarum KWSP yang layak.
BSN antara bank yang menyediakan kemudahan pinjaman untuk pencarum KWSP yang layak.

Jelasnya, setelah permohonan diluluskan, ahli boleh mengemukakan permohonan awal pengeluaran kepada KWSP berdasarkan amaun pembiayaan peribadi yang telah diluluskan oleh institusi perbankan berkenaan.

KWSP berkata, FSA 2 akan dilaksanakan dalam dua fasa dan ahli yang memenuhi kriteria kelayakan boleh memohon melalui bank yang mengambil bahagian iaitu MBSB Bank dan Bank Simpanan Nasional (BSN).

“KWSP akan mempertimbangkan untuk menambah lebih banyak bank yang mengambil bahagian pada masa hadapan,” ujarnya.

Menurut kenyataan, semasa Fasa 1 yang akan bermula pada 7 April 2023 dan kekal dibuka selama setahun, ahli yang layak berumur 40 tahun ke atas boleh memohon, tertakluk kepada kesediaan bank yang mengambil bahagian.

Tambah KWSP, tarikh mula untuk Fasa 2 untuk ahli di bawah umur 40 tahun akan diumumkan dalam masa terdekat.

“Di bawah kemudahan ini, semua ahli KWSP warganegara Malaysia di bawah umur 55 tahun boleh membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun, dengan syarat mereka mempunyai jumlah minimum RM3,000 dalam Akaun 2 KWSP mereka.

“Kemudahan ini disasarkan kepada ahli KWSP yang mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong dengan pendapatan yang berpatutan bagi memastikan mereka mampu membiayai dan membayar balik tanpa menjejaskan kecukupan dan keselamatan simpanan persaraan mereka,” katanya.

KWSP berkata, kemudahan pembiayaan ini disasarkan kepada ahli yang mempunyai simpanan dalam Akaun 2 dan disokong dengan pendapatan berpatutan bagi memastikan mereka mampu membiayai dan membayar balik tanpa menjejaskan kecukupan dan keselamatan simpanan persaraan mereka.

Tambahnya, fasiliti sokongan ini menawarkan penyelesaian praktikal untuk ahli KWSP yang menghadapi isu ketidakcukupan tunai sementara dengan menyediakan aliran tunai melalui pembiayaan peribadi dengan impak minimum kepada simpanan persaraan mereka.

"Sekiranya ahli membuat notis awal untuk Pengeluaran Umur 50 Tahun, KWSP akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun 2 ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank pada mana-mana peringkat umur antara 50 dan 54 tahun, mengikut pilihan ahli.

"Jika ahli memilih Pengeluaran Umur 55 Tahun, KWSP akan membayar prinsipal dan dividen terkumpul daripada Akaun 2 ke dalam akaun pembiayaan ahli dengan bank pada umur 55 tahun.

“Jumlah yang dibayar akan digunakan untuk menjelaskan baki pembiayaan peribadi, sekiranya ada, sebelum memulangkan sebarang lebihan kepada ahli," katanya.

KWSP turut memaklumkan bahawa simpanan ahli akan kekal dalam Akaun 2 dan terus menerima dividen tahunan, seterusnya membolehkan mereka mengambil manfaat daripada kuasa pengkompaunan dividen ke atas simpanan persaraan, di samping masih memenuhi keperluan kewangan jangka pendek mereka.

Tambahnya, ahli boleh membatalkan notis awal Pengeluaran Umur 50 Tahun atau 55 Tahun dengan memaklumkannya kepada KWSP sekiranya telah menyelesaikan sepenuhnya pembiayaan peribadi mereka.

"Sebaik sahaja notis awal dibatalkan, jumlah yang dipohon untuk pengeluaran (prinsipal dan dividen terkumpul) dalam Akaun 2 boleh digunakan untuk pengeluaran prapersaraan lain daripada KWSP.

"Bermula 5 April 2023, ahli boleh melawat https://fsa2.kwsp.gov.my untuk menyemak kelayakan dan amaun pembiayaan peribadi yang boleh dimohon, serta soalan-soalan lazim berserta jawapan berkenaan fasiliti ini," katanya.

Pencarum perlu mendaftar atau mengemas kini nombor telefon bimbit melalui Self-Service Terminal di mana-mana cawangan KWSP bagi tujuan penerimaan Transaction Authorisation Code (TAC) untuk pengesahan identiti ketika membuat transaksi.

Untuk maklumat lanjut mengenai kemudahan FSA2, mereka boleh merujuk kepada laman web KWSP di www.kwsp.gov.my atau hubungi Pusat Pengurusan Perhubungan di 03-8922 6000.