Penyokong PSG ejek Messi

Lionel Messi - Foto: AFP
Lionel Messi - Foto: AFP
A
A
A

PARIS Saint-Germain mengalami kekalahan kedua berturut-turut di tempat sendiri pada Isnin selepas tumbang 0-1 kepada Lyon dengan pemain bintang mereka, Lionel Messi diejek oleh sebahagian penyokong.

Selepas tewas 0-2 di laman sendiri kepada Rennes dua minggu lalu, pemain Lyon, Bradley Barcola menambah derita PSG di Parc des Princes.

Gol oleh Barcola yang masuk sebagai pengganti Amin Sarr, menebus sepakan penalti yang tersasar oleh Alexandre Lacazette pada separuh masa pertama.

Ia adalah kekalahan kali kelima PSG di Ligue 1 musim ini, sekali gus menyaksikan skuad bimbingan Christophe Galtier hanya mempunyai kelebihan enam mata berbanding Lens di tempat kedua dan Marseille di tempat ketiga.

Kontrak Messi, 35, selama dua tahun bersama kelab Paris itu hampir tamat.

Rundingan telah bermula mengenai kemungkinan pembaharuan kontrak tersebut selain Messi juga dikaitkan dengan kepulangan ke Barcelona.

Dalam dua musim di PSG, dia telah bermain 67 perlawanan dengan PSG dan menjaringkan 29 gol.

"Sukar untuk menjelaskan mengenai ejekan itu. Leo adalah pemain yang banyak memberi sumbangan sejak awal musim.

"Dengan kebijaksanaannya, Leo dapat melorongkan bola dengan baik, membantu menjaringkan gol dan dia sendiri menjaringkan gol. Saya tidak pernah terfikir untuk melepaskannya," kata Galtier.