Exco Melaka angkat sumpah Rabu

Ab Rauf (kiri) mengimbas perakam waktu pada hari pertama beliau bertugas di Pejabat Ketua Menteri di Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh di Melaka pada Isnin.
Ab Rauf (kiri) mengimbas perakam waktu pada hari pertama beliau bertugas di Pejabat Ketua Menteri di Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh di Melaka pada Isnin.
A
A
A

MELAKA - Portfolio dibarisi Exco Kerajaan Negeri Melaka yang baharu disifatkan sebagai menarik dan cantik itu akan direalisasikan pada Rabu ini.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, beliau telah melengkapkan senarai nama Exco yang akan turut disertai wakil rakyat daripada PH dalam tempoh 48 jam seperti yang dijanjikan, sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Mohd Ali Mohd Rustam untuk diperkenankan.

Menurutnya, kesemua Exco dijangka mengangkat sumpah pada Rabu ini sebelum keberangkatan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ke Melaka pada petang tersebut.

"Barisan Exco yang baharu setelah saya berunding dengan Yang Amat Berhormat Presiden (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) semalam telah pun diterima.

"Saya akan berjumpa dengan Yang di-Pertua Negeri, apabila beliau balik dari luar negara," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengimbas perakam waktu pada hari pertama beliau bertugas di Pejabat Ketua Menteri di Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh di sini, pada Isnin.

Hadir sama Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Zaidi Johari dan Pegawai Kewangan Negeri Melaka, Datuk Salhah Salleh.

Ditanya mengenai komposisi barisan Exco tersebut, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bidara berkata, komposisinya akan diberitahu nanti dan memberi bayangan bahawa barisan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri itu mampu mengimbangi pentadbiran kerajaan negeri dan mengambil pendekatan apa yang sedang berjalan di peringkat persekutuan untuk diterjemahkan di Melaka.

Sinar Harian pada Ahad melaporkan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, barisan Exco yang baharu akan melibatkan rakan-rakan parti politik Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, Kerajaan Negeri Melaka juga berkemungkinan mewujudkan jawatan timbalan exco bagi beberapa portfolio tertentu.

Dalam pada itu, Ab Rauf berkata, semua agenda yang dirancang sebelum ini akan diteruskan, dilihat, dikaji dan dibuat penambahbaikan untuk kemakmuran dan kesejahteraan rakyat Melaka.

"Saya akan dapatkan taklimat daripada semua pegawai kerajaan negeri yang diketuai Setiausaha Kerajaan Negeri dan saya akan melihat beberapa perkara yang perlu ditambah baik dan ditambah nilai," katanya lagi.