'Mogok Black Monday' dijangka bermula hari ini

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

SEPERTINYA isu berbangkit melibatkan doktor kontrak masih belum menampakkan jalan penyelesaian meskipun sudah beberapa tahun berlalu.

Tuntutan demi tuntutan dikemukakan, mogok demi mogok dijalankan, namun kesepakatan masih belum dimuktamadkan.

Terbaharu, antara yang akan menjadi perhatian rakyat pada hari ini adalah penganjuran mogok di seluruh negara oleh sekumpulan doktor kontrak sebagai tanda memprotes isu perjawatan mereka yang masih tergantung.

Gerakan yang dikenali sebagai Mogok Doktor Malaysia memaklumkan, kira-kira 8,000 doktor kontrak bercadang menyertai mogok dengan mengambil cuti perubatan atau kecemasan secara beramai-ramai serta memberi amaran terdapat 3,000 doktor kontrak akan meletak jawatan daripada KKM pada 1 April.

Mogok Doktor Malaysia yang bertemakan 'Mogok Black Monday' tetap diteruskan walaupun dilarang oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Mereka tidak akan mengadakan sebarang perhimpunan beramai-ramai atau berdemonstrasi kerana ia dikatakan akan digunakan oleh ahli politik sebagai dakwaan untuk menghukum mereka.

Malah, kumpulan itu turut meminta semua pihak yang menyokong gerakan tersebut untuk memakai pakaian berwarna hitam serta mengubah gambar profil kepada hitam atau monokrom (kelabu).

Untuk rekod, kumpulan itu juga telah mengemukakan enam tuntutan kepada kerajaan melalui KKM.

Antara tuntutan yang akan dibuat adalah menyerapkan semua pegawai perubatan kontrak ke dalam jawatan tetap tanpa sebarang syarat atau temu duga.

Menurutnya, gaji pokok dan kadar 'on call' pakar dengan pegawai perubatan juga perlu dinaikkan iaitu RM40 dan RM100 untuk satu jam.

Selain itu, kerajaan juga diminta supaya mengatasi masalah kekurangan pakar, pegawai perubatan dan perubatan siswazah dengan segera serta memohon agar mengurangkan khidmat wajib seorang doktor kepada tiga tahun secara automatik tanpa permohonan.

Penganjuran mogok itu turut mendapat perhatian beberapa pihak, antaranya Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah yang menyifatkan tindakan tersebut tidak akan memberi jalan penyelesaian kepada masalah yang dihadapi.

Sebaliknya, ia perlu diselesaikan dengan cara yang lebih profesional. Buktinya, semasa pandemik Covid-19, sistem kesihatan berdaya tahan membantu mengawal wabak dan memberi kesan yang positif.

Kerajaan seharusnya segera bertindak mencari penyelesaian bagi menangani isu melibatkan golongan doktor kontrak di Malaysia.

Sekiranya masalah ini masih berlarutan tanpa sebarang jaminan daripada kerajaan, tidak mustahil ramai antara doktor kontrak yang akan berhijrah dan menabur khidmat di luar negara gara-gara kecewa tidak ditawarkan jawatan tetap.

Malaysia akan berdepan konflik kekurangan tenaga pakar seandainya lebih ramai doktor-doktor muda meninggalkan perkhidmatan awam, seterusnya menyebabkan nisbah doktor per rakyat di negara ini menjadi tidak seimbang.

-tamat-