Raya awal: Hormati peranan ahli astronomi

Orang ramai perlu menghormati peranan ahli astronomi dan pihak berautoriti dalam penentuan tarikh hari raya dan bukannya buat andaian sendiri. - Gambar hiasan 123RF, Tangkap layar akaun Twitter @majalahsains
Orang ramai perlu menghormati peranan ahli astronomi dan pihak berautoriti dalam penentuan tarikh hari raya dan bukannya buat andaian sendiri. - Gambar hiasan 123RF, Tangkap layar akaun Twitter @majalahsains
A
A
A

SHAH ALAM - Semua pihak perlu menghormati peranan ahli astronomi dan pihak berautoriti dalam penentuan tarikh hari raya dan bukannya buat andaian sendiri.

Menurut pengendali akaun Twitter @majalahsains, pengisytiharan rasmi tarikh awal Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri hanya daripada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja.

"20 April bersamaan 29 Ramadan. Cerapan anak bulan dilakukan pada petang hari ke-29 setiap bulan hijriah dan bukannya pada 29 Syaaban dan 29 Ramadan sahaja," katanya.

Pada Jumaat, tular di media sosial dan kumpulan WhatsApp mengenai hebahan tarikh Hari Raya Aidilfitri yang dikatakan jatuh pada 21 April ini.

Hebahan ini menjadi perbualan dalam kalangan orang ramai apabila tarikh tersebut berbeza seperti yang tercatat dalam kalendar pada 22 April.

Ia susulan satu tangkap layar yang dikongsikan memaparkan tarikh akhir Ramadan pada 20 April ini.

Sementara itu, pengendali akaun Twitter berkenaan memaklumkan penentuan awal bulan baharu dalam takwim Hijrah di Malaysia adalah menggunakan kaedah rukyah (cerapan) dan hisab (kiraan) berpandukan kriteria Imkanur Rukyah iaitu etika matahari terbenam bersamaan dengan altitud bulan > 3° serta jarak lengkung (elongasi) keduanya > 6.4°.

Ujarnya, tiada gerhana bulan pada 6 April dan jika tarikh 6 Mei yang sebenarnya dimaksudkan baharulah ada fenomena gerhana bulan penumbra yang dijangka berlaku.

"Kesan gelapnya bukanlah ketara sehingga warna bulan menjadi kemerahan berbanding ketika bulan memasuki kawasan umbra.

"Gerhana matahari penuh pada 20 April ini hanyalah selama 1 minit dan 16 saat dan bukannya tempoh 4 minit.

"Ini lain macam dan mengelirukan. Kriteria Imkanur Rukyah menggariskan syarat altitud (tinggi) bulan dan jarak lengkung (elongasi) bulan-matahari dalam darjah, bukannya peratusan," jelasnya.