Harga siling ayam, telur kekal hingga selepas Aidilfitri

Salahuddin melakukan tinjauan harga barang keperluan asas selepas merasmikan Jualan Rahmah Pasaraya Hwa Tai di Pandan, Johor Bahru pada Sabtu.
Salahuddin melakukan tinjauan harga barang keperluan asas selepas merasmikan Jualan Rahmah Pasaraya Hwa Tai di Pandan, Johor Bahru pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan mengekalkan harga siling bagi ayam dan telur sehingga selepas sambutan Hari Raya Raya Aidilfitri.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, keputusan tersebut diputuskan dalam kabinet kerana bahan asas ini digunakan dalam kuantiti yang banyak pada Ramadan dan Syawal.

"Hasil libat urus pasukan KPDN bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (MAFS) juga memberi jaminan bekalan itu dijual pada harga siling yang ditetapkan.

"Setakat kita menghadapi bulan Ramadan dan hari raya, kerajaan tidak bercadang untuk mengangkat harga siling bagi ayam dan telur.

"Ini kerana hari raya istimewa, bukan disambut dua hari tetapi sebulan, malah dalam tempoh itu masih ada yang anjurkan rumah terbuka termasuk jabatan ataupun agensi kerajaan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Jualan Rahmah Pasaraya Hwa Tai di Pandan di sini pada Sabtu.

Sebelum ini, kerajaan menetapkan harga siling runcit semasa bagi ayam standard adalah RM9.40 sekilogram, manakala harga siling runcit telur bagi Gred A pada 45 sen sebiji, Gred B (43 sen sebiji) dan Gred C (41 sen sebiji), masing-masing di Semenanjung, sementara Langkawi, Sabah, Sarawak dan Labuan, harga maksimum kedua-dua makanan itu adalah berbeza mengikut zon dan daerah.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, KPDN dan MAFS yang telah mengadakan libat urus memberikan jaminan berkaitan harga dan bekalan mencukupi serta dijual pada harga syiling yang ditetapkan.

"Sepanjang Ramadan ini setiap hari kita memantau harga barangan asas keperluan supaya tidak berlakunya kenaikan harga," katanya.

Menurutnya, KPDN akan mengadakan perbincangan libat urus sekali lagi dengan pemain industri selepas Syawal dan kabinet mesti diyakinkan jika mahu angkat harga syiling tersebut.

Tambah beliau, hasil pertemuan dengan pemain industri bagi barangan asas ini, mereka bersedia meningkatkan bekalan ayam dan telur.