Sathia sasar tiga kejuaraan bersama Red Giants

B Sathianathan
B Sathianathan
A
A
A

PENGENDALI Selangor, B Sathianathan menaruh harapan tinggi untuk menjulang pelbagai kejuaraan bersama The Red Giants pada saingan Liga Malaysia 2019.

Sathianathan, 60, yang membawa Felda United menjuarai saingan Liga Perdana 2018 sebelum dilantik Ketua Jurulatih Red Giants bulan lalu berkata, beliau mahu membolot segala kejuaraan musim depan.

Jelasnya, impian menjuarai Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia dalam satu musim bukan satu perkara yang mustahil sekiranya pasukannya memiliki semangat juang dan motivasi yang tinggi.

"Kalau boleh saya mahu semua (kejuaraan). Saya ingatkan pemain dan selalu ingatkan diri saya bahawa saya mahu menang kesemuanya.

Ini semua adalah mentaliti kita. Kalau mentaliti kita cukup kuat dan yakin dengan kebolehan kita ditambah dengan motivasi dan gambaran jelas kepada pemain, tiada apa yang mustahil....kita boleh pergi jauh,” katanya pada sidang media majlis pelancaran jersi baharu Selangor di sini, hari ini.

Sementara itu, beliau memuji usaha Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) yang bersungguh-sungguh dalam menyediakan fasiliti latihan terbaik kepada pasukan menjelang saingan Liga Malaysia 2019.

Katanya, langkah itu adalah tepat dalam mengembalikan era kegemilangan Selangor sebagai gergasi bola sepak tanah air.

"Untuk memajukan Selangor dan kembalikan aura Selangor kita kena betulkan dari segi kemudahan di mana saya amat gembira kerana pihak pengurusan telah melakukan satu perkara yang positif dari segi kemudahan.

Artikel Berkaitan:

Saya harap ini akan mengubah mentaliti pemain untuk berlatih bersungguh-sungguh dan dengan kemudahan yang telah disediakan, saya tidak lagi boleh berikan alasan dan kita kena capai matlamat diletakkan oleh pengurusan,” katanya. - Bernama