Jawatankuasa Penasihat Menteri Kewangan tumpu 4 skop utama

Nurul Izzah
Nurul Izzah
A
A
A

SHAH ALAM - Sekretariat Jawatankuasa Penasihat kepada Menteri Kewangan telah memulakan tugasan yang menfokuskan kepada empat skop utama selaras dengan mandat yang diberikan.

Ketua Sekretariat Bersama Jawatankuasa Penasihat, Nurul Izzah Anwar berkata, fokus berkenaan merangkumi hasil dan perbelanjaan kerajaan, subsidi dan jaringan perlindungan sosial, syarikat berkaitan kerajaan serta hutang negara.

"Jawatankuasa ini sedar bahawa isu yang sedang dihadapi kini adalah adalah secara asasnya merentasi pelbagai dimensi, bersifat kompleks, meliputi cabaran struktural dan diwarisi sekian lama.

“Ternyata, sebelumnya sudah wujud kajian dan dapatan daripada kerajaan serta pihak-pihak lain merangkumi empat fokus utama tersebut.

“Maka kajian dan dapatan terdahulu akan juga diambil kira dengan menyuntik perspektif baharu sesuai dengan Malaysia yang kalis cabaran masa hadapan, insya-ALLAH,” katanya dalam satu ciapan di Twitternya pada Sabtu.

Selain itu, tambah beliau, sesi perbincangan berkelompok juga diadakan bagi mendapatkan pandangan daripada pelbagai pihak.

Menurutnya, ia bagi memastikan semua cadangan yang dikemukakan adalah adil, objektif, komprehensif dan mampan untuk kepentingan negara buat jangka masa panjang.

“Hasil dan dapatan serta cadangan daripada setiap fokus utama yang dikaji secara mendalam akan diserahkan kepada Menteri Kewangan sebagai satu laporan,” ujarnya.

Nurul Izzah berkata, laporan akhir akan diklasifikasikan sebagai rahsia rasmi tertakluk kepada Akta Rahsia Rasmi 1972.

“Insya-ALLAH, menuju ke hadapan, pihak sekretariat akan menyediakan lebih banyak perkembangan terkini sesuai dengan kemajuan substantif yang dicapai,” ujarnya.