Padah ugut, khianat pemandu lain di lampu isyarat

Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan dan perbuatan khianat terhadap seorang pemandu lain, di persimpangan lampu isyarat di sini, petang Jumaat. - Gambar hiasan
Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan dan perbuatan khianat terhadap seorang pemandu lain, di persimpangan lampu isyarat di sini, petang Jumaat. - Gambar hiasan
A
A
A

PASIR GUDANG - Polis menahan seorang lelaki tempatan bagi membantu siasatan berhubung kes ugutan dan perbuatan khianat terhadap seorang pemandu lain, di persimpangan lampu isyarat di sini, petang Jumaat.

Ketua Polis Daerah Seri Alam, Superintendan Mohd Sohaimi Ishak berkata, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Seri Alam, telah menangkap lelaki itu di kawasan Pasir Putih di sini, pada jam 6.20 petang.

Beliau berkata, kejadian itu dipercayai berpunca apabila lelaki berusia 35 tahun itu, dikatakan tidak berpuas hati dengan tindakan mangsa yang telah memotong kenderaannya, kira-kira jam 2.15 petang.

Tambah beliau, dia kemudiannya bertindak menghimpit dan melanggar belakang kereta mangsa, sebelum mereka kemudiannya berhenti di tepi jalan dan dia mengeluarkan sebatang besi lalu mengugut untuk memukul mangsa.

"Selain itu, kita turut merampas sebuah kereta jenis Perodua Myvi dan sebatang besi berukuran 60 sentimeter. Bagaimanapun, hasil semakan mendapati lelaki terbabit tidak mempunyai sebarang rekod lampau,” katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Mohd Sohaimi berkata, lelaki itu kini ditahan reman selama empat hari bermula hari ini, di bawah Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah.

Kes disiasat mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan. - Bernama