Inisiatif tambahan Belanjawan 2023 ibarat ' talian hayat'

Peruntukan tambahan bukti keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan pesawah demi kelangsungan hidup terutama ketika bulan Ramadan. - Gambar hiasan
Peruntukan tambahan bukti keprihatinan kerajaan dalam membantu golongan pesawah demi kelangsungan hidup terutama ketika bulan Ramadan. - Gambar hiasan
A
A
A

KOTA BHARU - Bagi seorang pesawah di sini, Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri RM200 menerusi Belanjawan 2023 yang diumumkan oleh kerajaan baru-baru ini diibaratkan sebagai ‘talian hayat’ baginya.

Md Sadzli Md Nor, 50,dari Kampung Bechah Mulong berkata, walaupun nilai itu agak kecil namun sekurang-kurangnya dapat menampung perbelanjaan sebelum memperoleh hasil menuai yang dijangka selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

Katanya, peruntukan tambahan itu bukti keprihatinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam membantu golongan pesawah demi kelangsungan hidup terutama ketika bulan Ramadan.

"Sebagaimana kita sedia maklum, kebanyakan barangan mentah atau sudah dimasak ketika ini agak mahal, jadi ia memberi tekanan kepada golongan seperti kami untuk membeli barangan tersebut.

"Oleh itu, dengan adanya peruntukan tambahan ini ia sedikit sebanyak dapat menampung bebanan perbelanjaan memandangkan pendapatan bulanan kami hanya bermusim," katanya kepada Bernama pada Sabtu.

Sementara itu, seorang nelayan Nik Mohd Kamal Husin, 55, dari Kampung Kedai Buloh pula berharap bantuan kepada golongan nelayan dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa bersesuaian dengan keadaan ekonomi yang semakin mencabar.

"Pemberian ini dilihat lebih membantu mengurangkan beban peningkatan kos sara hidup dan ianya harus dibelanjakan sebaik mungkin untuk memastikan kelangsungan hidup yang lebih baik.

"Saya turut berharap kerajaan dapat memberikan penyelesaian jangka panjang kepada golongan nelayan terutamanya membabitkan hasil laut demi memastikan pendapatan kami tidak terjejas," katanya.

Rabu lepas, Anwar yang juga Menteri Kewangan ketika membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2023 (Belanjawan 2023) bagi bacaan kali kedua di Dewan Negara mengumumkan beberapa inisiatif tambahan baharu melibatkan bantuan Aidilfitri seperti Bantuan Khas Kewangan Aidilfitri kepada 850,000 pekebun kecil getah, pesawah dan nelayan sebanyak RM200 yang akan menelan belanja RM170 juta. - Bernama