Gangguan seksual: Jurulatih berbasikal letak jawatan

Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

JURULATIH yang dikaitkan dengan kes gangguan seksual membabitkan seorang pelumba wanita negara bagi acara berbasikal bukit (MTB) telah meletak jawatan, kata Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh.

Beliau berkata, bagaimanapun siasatan terhadap insiden gangguan seksual itu akan terus dilaksanakan memandangkan insiden itu sudah menjadi kes di bawah Kanun Keseksaan.

"Gangguan seksual ini wujud dalam Penal Code (Kanun Keseksaan) dan laporan polis telah dilakukan, namun kita kena pastikan setiap aduan disiasat dengan adil. Kalau ada tuduhan yang tidak benar, perlu pastikan ada keadilan kepada orang yang dituduh.

"Oleh itu biar siasatan berlaku dahulu, lepas polis dan pegawai pelindung daripada Majlis Sukan Negara (MSN) habiskan siasatan, baru kita akan komen lebih lanjut... untuk keadilan semua pihak,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan kempen pengumpulan dana bagi menghantar pasukan footgolf kebangsaan ke Piala Dunia Footgolf di Orlando, Florida, Amerika Syarikat pada Sabtu.

Masukkan selepas para 4
Masukkan selepas para 4

Pada Jumaat, Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Datuk Abu Samah Abd Wahab dilaporkan mengesahkan telah menerima laporan berhubung kes gangguan seksual membabitkan seorang pelumba wanita negara bagi acara MTB.

Atlet wanita berusia 20-an itu yang membuat laporan polis dua hari lepas, mendakwa mengalami gangguan seksual daripada jurulatihnya sendiri, semasa menjalani latihan bersama pasukan.

Hannah berkata, susulan itu, kementeriannya juga telah mengaktifkan pegawai pelindung dalam MSN selaras dengan Kod Sukan Selamat dan akan memantau siasatan kes itu terutama di peringkat MSN bagi memastikan tindakan dilakukan dengan cepat.

Menurut Hannah, beliau mahu kes berkenaan dijadikan contoh bagaimana ia dikendalikan menurut prosedur operasi standard (SOP) berdasarkan Kod Sukan Selamat yang baru sahaja dilancarkan.

Dalam pada itu, beliau turut memberi amaran kementeriannya akan mengambil tindakan tegas terhadap sesiapa sahaja yang terlibat sekiranya ada lagi aduan berhubung gangguan seksual.

"Saya tidak kira kalau pesalah itu adalah atlet nombor satu negara. Kalau ada kes seperti ini dan anda telah mewujudkan satu persekitaran yang tidak selamat, tindakan tegas akan diambil oleh KBS (Kementerian Belia dan Sukan),” katanya.

Mengulas mengenai persiapan atlet lain susulan kejadian itu, beliau berkata, MSN akan memastikan seorang pegawai wanita dilantik bagi memastikan persiapan dan latihan pasukan berbasikal tidak terganggu. - Bernama