Pengasingan kuasa AG, Pendakwa Raya tingkat keyakinan rakyat

Penganalisis politik berpandangan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya dapat membuang persepsi negatif kerajaan berperanan atau campur tangan dalam kes mahkamah.
Penganalisis politik berpandangan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya dapat membuang persepsi negatif kerajaan berperanan atau campur tangan dalam kes mahkamah.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengasingan kuasa antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya akan meningkatkan keyakinan masyarakat terhadap ketelusan setiap tindakan perundangan khususnya bagi kes jenayah dan pendakwaan melibatkan ahli daripada badan eksekutif atau pentadbiran negara.

Penganalisis politik daripada Pusat Perdana Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur, Dr Mazlan Ali berkata, jika perkara itu dimuktamadkan, ia pasti dapat membuang persepsi negatif kerajaan berperanan atau campur tangan dalam kes mahkamah sama ada untuk mendakwa atau sebaliknya memandangkan Peguam Negara itu sendiri ialah individu yang dilantik atas syor Perdana Menteri.

"Sebagai individu yang berperanan selaku penasihat undang-undang kerajaan atau badan eksekutif, peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya yang terletak pada individu sama perlu dipisahkan supaya tiada lagi perdebatan dan kesangsian kerajaan berperanan atau campur tangan dalam kes mahkamah sama ada pendakwaan dan pemberhentian pendakwaan atau rayuan membabitkan kes tertentu," katanya kepada Bernama.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kerajaan memberi pertimbangan utama untuk melaksanakan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya biarpun akan membabitkan implikasi kewangan sebanyak RM300 juta selain prosesnya agak rumit dan mengambil masa.

Mazlan berkata, kenyataan Perdana Menteri itu memberi isyarat jelas bahawa kerajaan memberi komitmen tinggi untuk melaksanakan cadangan pengasingan kuasa antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya, seiring reformasi pentadbiran yang sedang dilaksanakan Kerajaan Perpaduan ketika ini.

Berhubung Artikel 145 Perlembagan Persekutuan yang perlu dipinda sebelum pengasingan kuasa dilaksanakan, Pensyarah Kanan Fakulti Teknologi dan Informatik Razak itu berkata, perkara itu bukan satu halangan memandangkan Kerajaan Perpaduan mempunyai sokongan 148 ahli Parlimen, iaitu melebihi dua pertiga majoriti untuk meluluskan sebarang pindaan sekiranya ia dibawa ke Parlimen.

"Dengan kesungguhan dan iltizam sebagaimana ditunjukkan Perdana Menteri serta hasrat yang sama oleh semua ahli Parlimen, saya tidak nampak pindaan Artikel 145 ini sebagai halangan kerana dengan 148 ahli Parlimen itu sahaja pun kerajaan sudah mempunyai 'cukup suara' untuk meluluskan pindaan tersebut," katanya yang memberikan contoh bagaimana rang undang-undang antilompat boleh diluluskan tahun lepas sedangkan kerajaan ketika itu tidak mempunyai sokongan kuat sebagaimana sekarang.

Menurut Artikel 145(2) peranan Peguam Negara ialah menasihati Yang di-Pertuan Agong, kabinet atau menteri yang dalam erti kata lain, secara dasar tugas Peguam Negara adalah sebagai penasihat undang-undang kerajaan atau badan eksekutif, manakala Artikel 145(3) menyatakan Peguam Negara mempunyai kuasa dan tanggungjawab untuk mendakwa kes-kes jenayah bagi pihak awam.

Berkongsi pandangan sama, pakar undang-undang dan perlembagaan daripada Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Madya Dr Khairil Azmin Mokhtar berkata, pengasingan ini akan menjadikan sistem demokrasi dan proses undang-undang dalam negara bertambah mantap.

Khairil Azmin berkata, dengan pengasingan peranan, kedua-dua entiti ini dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab tanpa bimbang berlaku konflik kepentingan, sekali gus memastikan proses pendakwaan dapat dilakukan dengan lebih telus dan bebas terutamanya apabila kes jenayah terbabit melibatkan ahli daripada badan eksekutif atau pentadbiran negara.

"Sebagai penasihat kerajaan, Peguam Negara ini dikira peguam kerajaan ... nasihat, buah fikiran atau pandangannya, semuanya untuk kebaikan kerajaan. Di sini akan timbul isu konflik kepentingan apabila kerajaan terlibat dengan jenayah dan didakwa, dan perkara ini dapat dielak sekiranya pengasingan peranan atau fungsi dilakukan," katanya.

Khairil Azmin turut menyarankan kerajaan menjadikan amalan pengasingan fungsi antara Peguam Negara dengan Pendakwa Raya yang diamalkan di United Kingdom sebagai panduan apabila sistem ini menyaksikan Peguam Negara tidak melakukan kerja pendakwaan.

Dalam sistem ini, tugas pendakwaan akan dilaksanakan oleh Jabatan Perkhidmatan Dakwaan Diraja sekali gus dapat mengelak berlakunya konflik kepentingan dalam setiap kes mahkamah atau pendakwaan. - Bernama