Solari puas hati prestasi pemain

A
A
A

[DIKEMAS KINI] PENGENDALI Johor Darul Ta’zim, Esteban Solari gembira dengan prestasi dipamerkan Endrick Dos Santos dan Arif Aiman Hanapi pada aksi Liga Super berdepan Sabah FC di Stadium Sultan Ibrahim pada Sabtu.

Kedua-dua pemain itu dilaporkan mengalami kecederaan sehingga terpaksa dilepaskan oleh kem skuad Harimau Malaya bagi mengharungi aksi persahabatan antarabangsa Tier 1, baru-baru ini.

Menurutnya, kedua-dua pemain berkenaan dilihat telah beraksi dengan baik di sepanjang perlawanan dan malah Arif Aiman turut berjaya menjaringkan gol pembukaan dalam kemenangan bergaya 4-0 skuad Harimau Selaan itu.

“Sebenarnya, kami sendiri tidak tahu mereka ‘mampu’ untuk beraksi, sehinggalah ke hari terakhir; lagi pun, mereka tidak menjalani bersama pasukan dengan sempurna.

“Apa pun bagi saya, tindakan pasukan kebangsaan dengan ‘menyerahkan’ semula kedua-dua pemain yang mengalami kecederaan ini kepada kami dilihat sebagai satu bentuk kerjasama yang sangat baik.

“Malah, staf perubatan kami juga telah melakukan tugas dengan baik. Ini ditambah dengan usaha serta semangat daripada kedua-dua pemain ini untuk bermain (beraksi),” katanya.

Untuk rekod, Hendrick dan Arif Aiman dilepaskan oleh kem latihan skuad kebangsaan susulan masalah kecederaan menjelang aksi persahabatan antarabangsa Tier 1 berdepan Hong Kong di Stadium Sultan Ibrahim, 28 Mac lalu.

Tambah Solari, pihaknya juga gembira dengan prestasi dipamerkan pemain gantian, Syahmi Safari pada perlawanan berkenaan termasuk La’vere Corbin Ong yang disifatkannya telah memberikan ‘nilai tambah’ kepada aksi yang dipamerkan.

Menurutnya, kesebelasan pemain telah mempamerkan aksi mantap biarpun beberapa pemain baru sahaja selesai tugasan bersama skuad Harimau Malaya pada aksi persahabatan antarabangsa berdepan Turkmenistan dan Hong Kong, baru-baru ini.

“Ya, saya gembira dengan prestasi dipamerkan pemain kerana kita tahu ramai antara mereka baru sahaja beraksi dengan skuad kebangsaan baru-baru ini.

“Ia juga merupakan satu cabaran besar buat pemain untuk kembali fokus bersama pasukan; walaupun agak sukar, namun mereka berjaya melakukannya (fokus) dan ia sesuatu yang membanggakan,” katanya.

Kemenangan 4-0 itu turut menyaksikan JDT terus gah di puncak Liga Super ketika ini dengan 18 mata hasil enam kemenangan berturut-turut setakat ini.

Mengulas mengenai aksi berdepan Sabah FC, Solari berkata, merupakan aksi yang sukar terutamanya pada minit-minit awal permainan apabila kerap diasak pelawat.

Bagaimanapun katanya, kesebelasan JDT berjaya menyerap kesemua asakan berkenaan, menyusun permainan sehinggalah membuka jaringan.

“Bagi saya ia satu perlawanan yang sukar, namun pemain berjaya menangani tekanan dan kembali mendapat rentak permainan.

“Setelah berjaya membuka jaringan, kami mula menguasai perlawanan dan ia berterusan sehinggalah ke wisel penamat,” katanya.