Pemuda UMNO desak kerajaan tubuh RCI siasat kes Najib

Tangkap layar hantaran Facebook Dr Akmal pada Sabtu.
Tangkap layar hantaran Facebook Dr Akmal pada Sabtu.
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO mendesak kerajaan mewujudkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi memberi keadilan sewajarnya kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Ketuanya, Dr Akmal Saleh berkata, perkara itu mengambil kira hujah Hakim Besar Sabah dan Sarawak, Datuk Abdul Rahman Sebli ketika mempengerusikan panel lima hakim dalam semakan kehakiman kes membabitkan dana SRC International Sdn Bhd.

"Akur dengan keputusan mahkamah bermaksud menghormati keputusan dan tidak turun ke jalanan membuta tuli kerana itulah yang selalu ditekankan oleh Datuk Seri Najib ketika beliau berjumpa dengan Pemuda (UMNO) seluruh Malaysia.

"Tetapi bukan bermaksud kami setuju dengan apa yang telah diputuskan," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Sabtu.

Sebelum ini Sinar Harian pada Jumaat melaporkan, Mahkamah Persekutuan Putrajaya menolak permohonan bekas Presiden UMNO itu untuk menyemak sabitan dan hukuman dalam kes berkenaan.

Panel lima hakim yang bersidang membabitkan Abdul Rahman bersama Datuk Vernon Ong Lam Kiat, Datuk Rhodzariah Bujang, Datuk Nordin Hassan serta Datuk Abu Bakar Jais itu menolak semakan tersebut dengan majoriti 4-1.

Abdul Rahman dalam keputusan penghakimannya menyifatkan Najib tidak mendapat keadilan sewajarnya apabila peguam, Datuk Hisyam Teh Poh Teik tidak mengemukakan rayuan selepas memaklumkan kepada panel hakim bahawa beliau tidak bersedia.