Raja Lembah Klang milik Selangor

Faisal Halim meraikan jaringan selepas menyempurnakan sepakan penalti semasa perlawanan Selangor FC menentang KL City dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
Faisal Halim meraikan jaringan selepas menyempurnakan sepakan penalti semasa perlawanan Selangor FC menentang KL City dalam aksi Liga Super di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur.
A
A
A

STATUS Raja Lembah Klang pusingan pertama menjadi milik Selangor FC selepas menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City) 3-1 dalam derbi tetangga di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras pada Jumaat.

Bagaimanapun anak buah Tan Cheng Hoe dikejutkan skuad pimpinan Bojan Hodak terlebih dahulu sebelum bangkit dengan tiga gol untuk penawar kekecewaan tewas 0-4 kepada juara sembilan kali berturut-turut, Johor Darul Ta'zim (JDT) sebelum ini.

The City Boys yang memburu kemenangan sulung saingan Liga Super terlebih dahulu membuka jaringan menerusi sepakan dari luar kotak penalti oleh pemain import Ivory Coast, Kipre Tchetche pada minit ke-24.

The Red Giants kemudiannya memanfaatkan dua jaringan penalti menerusi pemain import Colombia, Ayron Del Valle Rodriguez dan Faisal Halim, masing-masing pada minit ke-32 dan ke-41 untuk memimpin perlawanan babak pertama.

Babak kedua, Rodriguez sekali lagi menjadi duri dalam daging apabila menambah keceriaan buat pelawat apabila menyumbat gol kedua peribadi dan ketiga Red Giants pada minit ke-54, bagi memastikan status Raja Lembah Klang menjadi milik Selangor.

Sementara itu di Kuala Nerus, Terengganu FC (TFC) berjaya meraih tiga mata selepas menang tipis 2-1 ke atas Kelantan United FC di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin.

Pemain naturalisasi Liridon Krasniqi, tidak menunggu lama untuk meletakkan skuad Penyu di depan menerusi rembatan dari dalam kotak penalti pada minit keenam, dan giliran awang import dari Ghana, Jordan Mintah, meledak gol kedua kelab pimpinan Tomislav Steinbruckner itu pada minit ke-28.

The Green Deers asuhan Tomas Trucha, akhirnya merapatkan defisit hasil jaringan pemain tengah dari Filipina, Jose Porteria pada minit ke-76.

Di Stadium Bandaraya, Pulau Pinang pula, Penang FC akhirnya merekodkan kemenangan sulung musim ini apabila membelasah pasukan bergelut prestasi, Perak FC, 3-1.

Pemain import dari Lubnan Soony Saad, menggamatkan penyokong Harimau Kumbang menerusi gol pendahuluan pada minit keenam, manakala Nik Akif Syahiran Nik Mat pula menyumbang jaringan kedua pasukan pada minit ke-37.

Pemain import dari Korea Selatan, Seo Seon-ung, merapatkan jurang The Bos Gaurus asuhan Datuk Lim Teong Kim pada minit ke-71 sebelum angkatan Chong Yee Fatt menambah jaringan menerusi Giovane Gomes minit ke-83 sekali gus mematikan sisa kebangkitan Perak.