SIRIM sasar lahir 50,000 usahawan menjelang 2027

Abdul Aziz (dua dari kiri) menyerahkan simbolik pembungkusan produk usahawan pada Majlis Penyerahan Pembungkusan Produk Usahawan B40, Asnaf dan Majlis Berbuka Puasa bersama Media Negeri Sembilan pada Jumaat.
Abdul Aziz (dua dari kiri) menyerahkan simbolik pembungkusan produk usahawan pada Majlis Penyerahan Pembungkusan Produk Usahawan B40, Asnaf dan Majlis Berbuka Puasa bersama Media Negeri Sembilan pada Jumaat.
A
A
A

SEREMBAN - SIRIM Berhad menyasarkan 50,000 usahawan dapat dilahirkan menerusi program pembangunan usahawan termasuk inisiatif di bawah tanggungjawab sosial korporatnya (CSR) menjelang tahun 2027.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan SIRIM Berhad, Datuk Dr Ahmad Sabirin Arshad berkata, sasaran itu perlu bagi memberi peluang kepada usahawan mikro, kecil dan sederhana dalam kalangan asnaf dan B40.

"Mereka akan dapat meningkatkan produktiviti melalui pembangunan jenama, pelabelan, dan kandungan nutrisi bagi mentransformasi usahawan berkenaan menjadi usahawan yang berdaya saing di peringkat tempatan dan global.

"Keusahawanan yang berkualiti harus dapat mengubah masyarakat ke arah ekonomi dan sosial yang lebih baik dan berdaya saing, ia memainkan peranan penting dalam pembangunan sosioekonomi di seluruh dunia," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Majlis Penyerahan Pembungkusan Produk Usahawan B40, Asnaf dan Majlis Berbuka Puasa bersama Media Negeri Sembilan di sini pada Jumaat.

Hadir sama, Pengerusi Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (Mains), Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Ab Kadir.

Menurut Ahmad Sabirin, pihaknya mengharapkan sokongan dan galakan daripada pihak kerajaan agar dapat mengenal pasti lebih ramai usahawan daripada golongan B40 dan menaik taraf hidup mereka menjadi lebih baik.

Sementara itu, dalam perkembangan sama, beliau berkata, pihaknya melaksanakan inisiatif CSR bagi tahun 2022 dengan menyediakan peruntukan bernilai RM200,000 kepada 10 usahawan dari Negeri Sembilan dan 10 usahawan di Melaka masing-masing daripada golongan asnaf dan B40.

"Selain itu, pihak MAINS juga telah memberi peruntukan untuk membantu empat lagi usahawan asnaf.

"Bantuan yang diberikan kepada 20 usahawan di bawah program CSR ini merupakan latihan dan khidmat rundingan perniagaan melalui Pusat Reka Bentuk Pembungkusan dan Percetakan Keselamatan SIRIM (PSDC) dan SIRIM STS Sdn. Bhd.

"Antara khidmat rundingan perniagaan yang disediakan antaranya pembangunan jenama, pelabelan, kandungan nutrisi, bahan promosi dan Kursus Asas Pemasaran Digital," katanya.