Jawatankuasa interim PABJ tidak sah

Pubalan (dua dari kiri) bersama ahli jawatankuasa PABJ menunjukkan surat RoS tidak membenarkan Mesyuarat Agung Khas diadakan dalam pertemuan bersama Sinar Harian pada Jumaat.
Pubalan (dua dari kiri) bersama ahli jawatankuasa PABJ menunjukkan surat RoS tidak membenarkan Mesyuarat Agung Khas diadakan dalam pertemuan bersama Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

PUCHONG – Jawatankuasa interim yang didakwa telah dibentuk pada 5 Mac lalu oleh segelintir bekas ahli Persatuan Anak Bangsa Johor (PABJ) yang dipecat adalah tidak sah.

Naib Presidennya, David Pubalan berkata, Mesyuarat Agung Khas yang diadakan pada 5 Mac itu tidak mendapat kebenaran daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) Johor.

Menurutnya, keputusan ini dinyatakan melalui surat daripada jabatan itu, bertarikh 1 Mac lalu kepada salah seorang daripada jawatankuasa interim iaitu Datuk Mohd Rayus Abdul Rahim empat hari sebelum ‘Mesyuarat Agung Khas’ tersebut diadakan.

“Melalui surat tersebut, RoS Johor menyatakan bahawa sebarang Mesyuarat Agung atau Mesyuarat Agung Khas perlu ditangguhkan buat sementara waktu sehingga siasatan yang dijalankan oleh RoS Johor selesai.

“Oleh itu, sebarang surat-menyurat, keputusan dan tindakan yang dilakukan atas arahan atau keputusan jawatankuasa interim, tidak boleh diterima dan diguna pakai,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika mengulas laporan akhbar ini pada 6 Mac lalu berhubung Jawatankuasa interim yang ditubuhkan untuk menyelesaikan isu dalaman PABJ.

Pubalan berkata, sebarang keputusan dan arahan hanya dikeluarkan setelah mendapat persetujuan daripada mesyuarat ahli jawatankuasa PABJ.

“Kami merasakan bahawa tindakan mereka ini adalah sangat tidak bermoral kerana tidak menghormati keputusan RoS Johor serta membelakangkan ahli jawatankuasa sedia ada.

“Sikap sebegini seharusnya dielakkan dan perlu dijauhi dari kalangan ahli persatuan agar kami akan dapat mengekalkan keharmonian dan kesejahteraan persatuan,” ujarnya.

Sementara itu Pubalan menjelaskan, keputusan memecat beberapa ahli jawatankuasa dan ahli PABJ kerana didapati telah mencemarkan imej, nama serta reputasi PABJ serta melanggar perlembagaan persatuan ini.

“Pemecatan tersebut adalah melibatkan Sharifah Rafizah Syed Osman, Datuk Mohd Rayus Abdul Rahim, Datuk Abdullah Md Ali, Datuk Seri Dr. Abdul Rahman Ali, Sharifah Amirah Syed Amran dan Muhamad Khairoza Ahmad.

“Dengan ini PABJ menuntut agar beberapa orang yang dipanggil sebagai ahli jawatankuasa interim berkenaan untuk membuat permohonan maaf secara terbuka kepada barisan ahli jawatankuasa dan ahli-ahli PABJ yang sah.

Pubalan berkata, PABJ tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang jika mereka tidak melakukan permohonan maaf secara terbuka kerana telah menyebarkan maklumat palsu kepada ahli persatuan dan rakyat Malaysia khususnya rakyat negeri Johor.