[VIDEO] Lelaki pukul imam dihantar ke Hospital Permai

Ahmad Paijan didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan gangguan kepada sembahyang subuh yang sedang dijalankan dengan sah di sisi undang-undang pada 26 Mac lalu.
Ahmad Paijan didakwa atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan gangguan kepada sembahyang subuh yang sedang dijalankan dengan sah di sisi undang-undang pada 26 Mac lalu.
A
A
A

KUANTAN - Lelaki yang tular memukul imam jemputan di di Masjid Negeri Sultan Ahmad Shah 1 pada Ahad lalu, akan dihantar ke Hospital Permai, Johor Baharu bagi mendapatkan pemantauan dan laporan psikiatri.

Perintah itu dikeluarkan Majistret Tengku Eliana Tuan Kamaruzaman terhadap Ahmad Paijan Abd Rashid, 38, mengikut Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah.

Sebelum itu, Ahmad Paijan yang berada di kandang tertuduh ketika pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah hanya menjawab 'saya terdengar suara'.

Jawapan itu diberikan tertuduh selepas disoal sama ada faham atas pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh terhadap pertuduhan itu.

Ahmad Paijan yang beralamat di Kuala Lumpur didakwa dengan sengaja menyebabkan gangguan kepada sembahyang Subuh yang sedang dijalankan dengan sah di sisi undang-undang.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di ruang solat utama, Masjid Sultan Ahmad Shah, di sini, jam 6.30 pagi pada 26 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 296 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara selama tempoh sampai setahun atau denda atau kedua-dua sekali.

Sebelum itu, Timbalan Pendakwa Raya, Ezuain Farhana Ahmad bersama Anuarul Hakim Abdul Muen tidak menawarkan sebarang jaminan kepada tertuduh.

Ezuain Farhana turut membuat permohonan di bawah Seksyen 342 Kanun Tatacara Jenayah agar tertuduh dihantar ke Hospital Permai, Johor Baharu bagi menjalankan pemeriksaan.

Kes disebut semula pada 22 April depan.

Sebelum ini, tular satu rakaman video menunjukkan kejadian seorang lelaki kurang siuman telah memukul imam jemputan Masjid Negeri Sultan Ahmad 1, di sini, sekitar jam 6.18 pagi Ahad lalu.

Video berdurasi 30 saat itu memaparkan seorang lelaki berpakaian baju Melayu dan kain pelekat datang dari arah belakang jemaah lalu bertindak menolak jemaah sebelum memukul imam jemputan terbabit dengan sepasang selipar berwarna putih.

Pihak Masjid Sultah Ahmad Shah 1 bagaimanapun dalam pengumuman mereka meminta agar orang ramai menghentikan penularan video terbabit dan tidak akan bertanggungjawab terhadap mana-mana pihak yang akan berhadapan dengan tindakan undang-undang disebabkan penyebaran video tersebut.