Donald Trump didakwa salur wang 'tutup mulut' pelakon lucah

Donald Trump - Foto Reuters
Donald Trump - Foto Reuters
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump didakwa di Mahkamah Manhattan selepas siasatan ke atas wang untuk ‘menutup mulut’ yang dibayar kepada pelakon lucah Stormy Daniels dimuktamadkan.

Ini menjadikan beliau bekas Presiden AS pertama yang menghadapi tuduhan jenayah.

Tuduhan itu timbul daripada siasatan yang diketuai oleh Ahli Demokrat yang juga Peguam Daerah Manhattan, Alvin Bragg.

Trump sebelum ini berkata, beliau akan terus berkempen untuk pencalonan Parti Republikan walaupun didakwa melakukan jenayah.

Namun, tuduhan secara spesifik masih belum diketahui dan dakwaan mungkin akan diumumkan dalam beberapa hari lagi.

Trump perlu ke Manhattan untuk cap jari dan pemprosesan lain pada ketika itu.

Cubaan Trump, 76, dalam pemilihan semula 2020 digagalkan dengan kemenangan calon Demokrat, Joe Biden.

Trump mendakwa, beliau kalah kepada Biden kerana penipuan undi secara besar-besaran dan menggelar siasatan yang membawa kepada dakwaannya sebagai 'buruan sihir politik'.

Pejabat Bragg tahun lalu memenangi sabitan jenayah terhadap ahli perniagaan syarikat hartanah itu yang bertukar menjadi ahli politik.

Juri utama yang dipanggil oleh Bragg pada Januari mula mendengar keterangan serta bukti tentang peranan Trump dalam pembayaran kepada Daniels beberapa hari sebelum Pilihan Raya Presiden 2016, yang memihak kepadanya.

Daniels, pelakon dan pengarah filem lucah terkenal dengan nama sebenarnya Stephanie Clifford berkata, dia menerima wang itu sebagai pertukaran untuk berdiam diri mengenai pertemuan seksual antaranya dan Trump pada 2006.

Peguam peribadi kepada bekas Presiden, Michael Cohen berkata, Trump mengarahkan pembayaran tersebut kepada Daniels dan kepada wanita kedua, bekas model Playboy, Karen McDougal yang juga mendakwa dia mempunyai hubungan seksual.

Trump menafikan mempunyai hubungan sulit dengan mana-mana wanita. - Awani