Liverpool tak boleh buat silap

Robertson
Robertson
A
A
A

ANDREW Robertson memberi amaran kepada rakan sepasukannya di Liverpool bahawa mereka tidak boleh melakukan sebarang kesilapan jika ingin berada dalam kelompok empat terbaik Liga Perdana Inggeris (EPL).

The Reds mengharungi prestasi mengecewakan musim ini selain masalah kecederaan yang membelenggu beberapa pemain utama pasukan itu.

Musim lalu, Liverpool memenangi Piala Liga Inggeris dan Piala FA selain mara ke final Liga Juara-Juara dan hanya menamatkan satu mata di belakang juara EPL, Manchester City.

Bagaimanapun, musim ini menyaksikan mereka gagal mempertahankan mana-mana piala, tersingkir daripada Liga Juara-Juara pada peringkat 16 terakhir dan berdepan cabaran sukar untuk menamatkan saingan di empat teratas EPL.

"Motivasinya adalah sama. Kami mahu beraksi di Liga Juara-Juara musim depan, jadi motivasinya adalah sama seperti kami memburu trofi.

"Ia jelas minggu yang penting (menentang City). Kami juga akan menentang tiga pasukan besar dan ia akan menjadi minggu sengit, tetapi itulah yang anda nantikan apabila datang ke kelab ini.

"Ini adalah perlawanan besar yang anda mahu sertai. Kami tidak mempunyai masa untuk disia-siakan dan kami tidak boleh buat kesilapan jikamahu mencapai kedudukan empat teratas," katanya.

Liverpool ketika ini berada di kedudukan keenam EPL dan dibezakan tujuh mata dengan pasukan di kedudukan keempat, Tottenham Hotspur selain mempunyai kelebihan dua perlawanan dalam tangan.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu akan mengharungi tiga perlawanan penting menentang menentang Manchester City pada Sabtu, Chelsea pada Rabu ini dan pendahulu EPL, Arsenal minggu depan.