KKM tidak benar penjualan ikan buntal

Gambar kecil: Dr Noor Hisham
Gambar kecil: Dr Noor Hisham
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) tidak membenarkan penjualan ikan buntal untuk tujuan hidangan kerana mengandungi toksin berbahaya.

Ketua Pengarahnya, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, ini kerana sebanyak 58 kes keracunan ikan buntal telah dilaporkan membabitkan 18 kematian sejak 1985 hingga Mac tahun ini.

Ujarnya, Seksyen 13 Akta Makanan 1983 turut menerangkan dengan jelas larangan dalam penjualan mana-mana makanan yang mengandungi apa-apa bahan beracun, berbahaya termasuk memudaratkan kesihatan.

“Pindaan ini telah dihentikan memandangkan kawalan dalam penjualan ikan buntal kini ditetapkan di bawah Akta Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia 1972.

“Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (FSQD) KKM telah menghasilkan bahan pendidikan sebagai langkah meningkatkan kesedaran orang ramai berhubung toksin berbahaya dalam ikan buntal.

“KKM akan terus mendidik orang ramai tentang keselamatan makanan termasuk bahaya memakan ikan buntal,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

No Image Caption

Tambah Noor Hisham, tinjauan yang dijalankan oleh FSQD, KKM pada tahun 2019 menunjukkan 86 peratus responden terdiri daripada orang awam, penjual ikan, nelayan dan tukang masak mempunyai pengetahuan yang mencukupi tentang bahaya pengambilan ikan buntal.

Pada Selasa lalu, Sinar Harian melaporkan seorang wanita meninggal dunia manakala suaminya dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Enche' Besar Hajjah Kalsom (HEBHK) di Kluang, Johor selepas memakan hidangan ikan buntal, Sabtu lalu.

Exco Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon berkata, wanita berkenaan mengalami gejala sesak nafas dan menggigil pada jam 3 petang sebelum dikejarkan ke HEBHK oleh anaknya.