Hormatilah Ramadan walaupun tidak berpuasa

No Image Caption
A
A
A

BARU-baru ini media tempatan melaporkan kejadian seorang peniaga menyorok nasi bungkus dalam mesin basuh untuk dijual kepada kaki ponteng puasa di sebuah negeri di Pantai Timur.

Perbuatan itu terbongkar hasil maklumat orang ramai sebelum serbuan dilakukan pejabat agama dan majlis daerah.

Dalam serbuan sekitar jam 10 pagi hingga 12 tengah hari itu, lebih 20 bungkus nasi berlauk ayam bersama teh o ais berjaya dirampas. Peniaga wanita berkenaan sudah diberi amaran dan dinasihatkan agar tak mengulangi kesalahan sama.

Kejadian individu tidak menghormati Ramadan apabila makan dan minum di khalayak ramai bukan perkara biasa di negara ini, sebaliknya saban tahun ada sahaja berlaku.

Namun, sama ada disedari atau tidak, ada juga kaum wanita yang mendakwa tidak boleh berpuasa kerana uzur, tanpa segan silu makan secara dine-in di restoran makanan segera pada siang hari ketika bulan Ramadan.

Perbuatan selamba mereka itu amat memalukan, malah jelas menunjukkan mereka langsung tidak menghormati Ramadan.

Isu yang diperkatakan ini belum lagi tersebar secara meluas di media sosial. Namun, dalam kalangan pekerja restoran makanan segera, ia sudah menjadi buah mulut.

Menurut pekerja restoran, mereka tidak berani untuk menegur, bimbang dikatakan sibuk jaga tepi kain orang.

Mengambil pandangan bekas Mufti Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebelum ini, beliau mengingatkan, adalah lebih afdal sekiranya wanita yang tidak boleh berpuasa supaya makan di tempat yang sunyi atau tersembunyi daripada penglihatan orang ramai.

Menurut beliau, pendekatan sedemikian bertujuan untuk menjaga dan memelihara diri wanita itu daripada fitnah, selain menyelamatkan orang ramai daripada bersangka buruk.

Pada masa sama, katanya, si pelaku tidak akan dituduh meremehkan perintah ALLAH kerana meninggalkan puasa.

Mungkin sudah sampai masa pihak berkuasa daripada jabatan agama melihat perkara ini agar tidak terus berleluasa.

Jika dibiarkan, dikhuatiri perbuatan akan terus menjadi ‘budaya’ di bulan Ramadan.

Jangan juga sesekali anggap hal yang diperkatakan ini terpencil kerana ia boleh jadi barah dalam kalangan masyarakat.

Tak usah bercerita tentang hak asasi kalau diri sendiri meremehkan perintah ALLAH.