'Antara dua darjat'

Zainal Abidin
Zainal Abidin
A
A
A

SAINGAN Liga Super akan kembali 'hangat' pada Jumaat selepas berakhir 'cuti rehat' yang menyaksikan jurang mata yang besar antara kelompok teratas dan bawahan carta kedudukan.

Prestasi berbeza antara 14 buah pasukan boleh diibaratkan 'antara dua darjat' dengan Johor Darul Ta'zim (JDT) berada dalam kelas tersendiri dengan rekod lima kemenangan bersih untuk mengumpul 15 mata.

Pengulas sukan Zainal Abidin Rawop berkata, prestasi kelab-kelab tersebut boleh dibahagikan kepada tiga kelompok iaitu teratas, pertengahan dan bawahan liga.

Katanya, kelompok teratas seperti JDT, Sabah FC, Kedah Darul Aman (KDA) FC, Selangor FC dan Sri Pahang dilihat dominan dalam saingan musim ini.

Tambahnya, bagi kelompok pertengahan pula mereka bersaing sesama sendiri seperti PDRM FC, Perak FC, Negeri Sembilan FC, Terengganu FC dan Kelantan FC.

"Kelompok bawahan pula masih tercari-cari rentak dan mereka antaranya pendatang baharu Liga Super.

"Ia termasuk Kuala Lumpur (KL) City yang masih belum menyengat, Kuching City FC, Penang FC dan Kelantan United (satu mata)," katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Menurut Zainal Abidin, JDT dilihat berpeluang cerah untuk merangkul kejuaraan liga buat kali ke-10 menerusi barisan pemain yang serba lengkap di setiap posisi.

"Siapa sahaja yang diletakkan di barisan depan pasti menjadi. Forestieri (Fernando), Diago (Luis Santo) dan Bergson apabila diturunkan pasti meledak gol.

"Persaingan adalah bagi merebut naib juara Liga Super antara kelompok empat pasukan teratas," katanya.

Tambah beliau, prestasi PDRM juga boleh dibanggakan termasuk mengalahkan KDA FC di laman lawan, biarpun pasukan itu dilihat sebagai 'biasa-biasa sahaja'.

Katanya, prestasi KL City pula mencetuskan tanda tanya sedangkan pengendalinya, Bojan Hodak memiliki pemain yang sama cuma ditambah dengan dua penyerang berbisa, Tchetche Kipre dan Caion.

"Saya tak pasti kenapa KL belum lagi 'menjerit'. Saya juga lihat Hodak perlu mencari seorang lagi pemain bagi membantu Paulo Josue mengemudi barisan tengah," katanya.