Keputusan kes rasuah bekas pegawai kanan KBS 19 April ini

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Mahkamah Sesyen menetapkan 19 April ini untuk keputusan kes rasuah dan pengubahan wang haram membabitkan bekas Setiausaha Bahagian Kewangan, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) Otman Arsahd.

Peguam Rafique Rashid Ali yang mewakili Otman, 64, berkata, tarikh itu ditetapkan Hakim Kamarudin Kamsun.

"Sepatutnya, hari ini ditetapkan untuk keputusan di akhir kes pembelaan, namun ia ditangguh pada 19 April selepas kami memberitahu mahkamah bahawa pihak pembelaan akan memfailkan hujahan tambahan," katanya ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

Pada 31 Mac 2016, Otman didakwa atas 32 pertuduhan salah guna kedudukan dan mengemukakan tuntutan palsu membabitkan nilai RM38.4 juta di Pejabat Majlis Sukan Negara, Kompleks Sukan Negara, Bukit Jalil, di sini, antara 28 Februari 2012 hingga 18 November 2015.

Bagi 17 kesalahan membabitkan tuntutan palsu, pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 18 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, manakala 15 lagi pertuduhan salah guna kedudukan dibuat mengikut Seksyen 23(1) akta sama.

Pada 21 April 2016, Otman didakwa atas 64 pertuduhan menerima wang berjumlah RM16,623,000 hasil daripada aktiviti haram ke dalam akaun Maybank, RHB dan CIMB Berhad menerusi cek antara 7 Mac 2012 hingga 11 Disember 2015.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di beberapa lokasi berbeza antaranya RHB Bank cawangan Presint 8, Putrajaya; Menara Maybank Jalan Tun Perak dan Maybank Jalan Raja.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1) (b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan Dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 yang membawa hukuman penjara sehingga 15 tahun atau boleh juga didenda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil daripada aktiviti haram, jika sabit kesalahan.

Seramai 70 saksi pendakwaan dan seorang saksi pembelaan iaitu tertuduh memberi keterangan pada perbicaraan kes itu. - Bernama