Buang bayi di masjid tak selamat: OrphanCare

OrphanCare menjelaskan usaha untuk mewujudkan baby hatch di masjid perlukan beberapa pertimbangan yang kukuh.
OrphanCare menjelaskan usaha untuk mewujudkan baby hatch di masjid perlukan beberapa pertimbangan yang kukuh.
A
A
A

SHAH ALAM - Perbuatan memilih masjid sebagai tempat untuk membuang bayi adalah tindakan yang tidak selamat.

OrphanCare yang menyediakan tempat perlindungan bayi (Baby Hatch) berkata, masjid dan surau bukan satu tempat yang mempunyai pengawasan manusia 24 jam.

“Selalunya orang akan letak bila tempat itu sunyi kerana tujuan utama adalah tidak mahu identiti diketahui.

“Masjid dan surau bukan satu tempat yang digazetkan sebagai tempat selamat, oleh itu ia dalam kategori jenayah apabila seseorang meletakkan bayi di situ,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Muka hadapan Sinar Harian semalam, mendedahkan seolah-olah menjadi trend apabila bayi sama ada masih hidup atau yang sudah meninggal dunia dibuang di kawasan atau dalam masjid.

Terbaru, seorang bayi perempuan cukup sifat dipercayai baru dilahirkan ditemukan di bahagian kaki lima Masjid Lama Ara Kuda, Sungai Dua, Pulau Pinang, tengah hari kelmarin.

Dalam pada itu, mengulas mengenai cadangan untuk mewujudkan Baby Hatch di masjid, OrphanCare berkata, ia perlu melalui beberapa pertimbangan terlebih dahulu.

“Mungkin ahli jawatankuasa masjid perlu menggaji seseorang penjaga yang tinggal (stand-by) 24 jam di masjid untuk mengambil bayi sebaik sahaja ia diletakkan di dalam Baby Hatch.

Artikel Berkaitan:

“Setiap kes penemuan bayi di mana sahaja perlu mengikut akta kanak-kanak iaitu yang pertama perlu membuat laporan polis. Kedua, bayi perlu dimasukkan ke hospital kerajaan yang terdekat untuk pemeriksaan lanjut dan ketiga, memaklumkan kepada pegawai pelindung di pejabat kebajikan masyarakat daerah. Semua ini harus dilakukan dalam masa 24 jam,” katanya.

Jelasnya, Baby Hatch sedia ada adalah kategori tempat selamat dan ia bukan satu kesalahan jenayah untuk meletakkan bayi di situ.

“Mereka yang membuang anak yang diletakkan di dalam hatch, ada menyertakan surat menyatakan mereka sanggup bersusah payah pergi ke Baby Hatch kerana mahukan tempat yang selamat untuk bayi, dan percaya kami akan serahkan anak ini kepada pasangan ibu bapa angkat yang layak dan bersesuaian.

“Mereka (yang membuang bayi) juga inginkan anak mereka mempunyai masa depan yang cerah. Mereka juga meminta maaf kepada anak kerana tidak mampu menjaga sendiri kerana masalah mereka hadapi. Ada juga yang sertakan surat kepada ibu bapa angkat supaya sayang dan jaga anak dengan baik dan didik dengan agama,” katanya.