'Food Waste to Wealth' selari hasrat TTDI rendah karbon

Keisuke Nishida (kiri) dan Azlan menunjukkan sisa makanan yang dikompos menjadi baja untuk kegunaan kebun tanaman di TTDI.
Keisuke Nishida (kiri) dan Azlan menunjukkan sisa makanan yang dikompos menjadi baja untuk kegunaan kebun tanaman di TTDI.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Panasonic Malaysia berkolobrasi dengan GreenStep Malaysia menganjurkan inisiatif ‘Food Waste to Wealth' sebagai menyokong usaha peralihan komuniti Taman Tun Dr Ismail (TTDI) ke arah masyarakat rendah karbon.

Penduduk TTDI yang mengambil bahagian dalam pertandingan pengasingan sisa yang berlangsung selama tiga bulan bermula 1 April hingga 30 Jun berpeluang memenangi baucar tunai sehingga RM15,000.

Peserta hanya perlu mengasingkan sisa mengikut tiga kategori organik (sisa makanan), sisa yang boleh dikitar semula (plastik, aluminium, kaca, kertas sisa elektronik atau e-waste) dan sisa yang tidak boleh dikitar semula (pelitup muka, lampin kotor, dan produk pembersihan).

Untuk memenangi baucar Panasonic sehingga RM10,000, penduduk perlu muat turun aplikasi GreenSteps Malaysia dan mendaftar akaun 'Household' untuk merekodkan jumlah sisa makanan yang berjaya dikompos.

Selain itu, penduduk yang mengumpul mata GreenPoints apabila mengompos sisa makanan dengan kerap dan memasukkan data dalam aplikasi GreenSteps Malaysia akan diberi ganjaran berbentuk baucar sehingga RM 5,000 yang boleh ditebus di kafe-kafe GreenSteps yang mengambil bahagian di TTDI.

Pengarah Urusan Panasonic Malaysia, Keisuke Nishida berkata, program itu selari dengan misi syarikat untuk menyumbang kepada masyarakat termasuk dalam usaha menangani cabaran global melibatkan perubahan iklim.

"Dengan slogan 'Create Today. Enrich Tomorrow', syarikat memberikan komitmen ke arah planet lebih hijau.

"Kami gembira dapat menjalin kerjasama dengan GreenSteps Malaysia dalam menyokong peralihan komuniti TTDI ke arah masyarakat rendah karbon," katanya pada pelancaran inisiatif ‘Food Waste to Wealth' pada Khamis.

Pelancaran program disempurnakan Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri Mahadi Che Ngah.

Mahadi (tengah) pada pelancaran Food Waste to Wealth di TTDI pada Khamis.
Mahadi (tengah) pada pelancaran Food Waste to Wealth di TTDI pada Khamis.

Sementara itu, Ketua Pengasas GreenSteps Malaysia, Azlan Yaacob berkata, percubaan sebelum ini untuk menangani pengurusan sisa makanan dalam komuniti TTDI tidak berdaya maju dan perlu diubah suai.

"Dengan amalkan pengasingan sisa yang betul, komuniti dapat jadikan kitar semula itu bersih dan tambah baik kualiti sistem kitar semula di Malaysia.

"Sisa organik boleh digunakan sebagai baja tinggi nutrien yang berguna untuk bangunkan hasil kebun tanaman berkhasiat yang memberi manfaat kesihatan dan kesejahteraan komuniti," katanya.

Justeru katanya, kerjasama bersama Panasonic melambangkan nilai kebersamaan ke arah menangani isu perubahan iklim dan membimbing komuniti turut serta dalam penjagaan alam melalui kitar semula.

Sebagai permulaan katanya, pihaknya menyasarkan 300 isi rumah di TTDI akan menyokong program Food Waste to Wealth tersebut.