151 keluarga miskin dibantu harungi Ramadan

Nazran (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada Che Aznan yang terlantar.
Nazran (dua dari kiri) menyampaikan bantuan kepada Che Aznan yang terlantar.
A
A
A

BACHOK - Seramai 151 keluarga miskin di negeri ini menerima bantuan daripada Majlis Orang-orang Besar Diraja Kelantan melalui pemberian barangan keperluan makanan dan wang tunai dengan jumlah keseluruhannya bernilai RM45,000.

Pengerusi Majlis Orang-orang Besar Diraja Kelantan, Datuk Nazran Muhammad berkata, penerima meliputi masing-masing 15 keluarga di sembilan daerah dan 16 keluarga di Bachok.

“Bantuan di sembilan daerah sudah selesai disalurkan serentak pada 15 Mac lalu sebagai persediaan mereka menjalani ibadah puasa pada bulan Ramadan tahun ini.

“Di Bachok pula, kita lakukan pada hari ini bagi mengambil keberkatan bulan mulia,” katanya selepas penyerahan bantuan Ramadan kepada penerima Che Aznan Yusof, 55, dan isterinya, Nik Rohani Abdul Rahman, 61.

Turut hadir isteri Nazran, yang juga Pengerusi Persatuan Suri dan Anggota Wanita Perkhidmatan Awam Malaysia (Puspanita) Kelantan, Datin Dr Wan Nazariah W Hassan.

Nazran (dua dari kiri) dan Dr Wan Nazariah (kiri) turut mendoakan kesihatan Che Aznan.
Nazran (dua dari kiri) dan Dr Wan Nazariah (kiri) turut mendoakan kesihatan Che Aznan.

Nazran yang juga Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan berkata, agihan sumbangan itu turut mendapat kerjasama Puspanita Kelantan.

“Penerima terdiri daripada golongan warga emas, pesakit kronik dan ibu tunggal.

“Pihak kami sentiasa prihatin untuk membantu meringankan beban golongan ini,” katanya.

Sementara itu, Nik Rohani berkata, suaminya menghidap penyakit darah tinggi dan terpaksa memakai lampin pakai buang akibat terlantar sejak tahun 2018.

“Sebelum ini suami bekerja sebagai pemandu van ais namun tidak dapat meneruskannya selepas sakit.

“Saya pula sudah lama tidak dapat mengambil upah menjahit baju kerana mata yang rosak dan tidak nampak dengan jelas,” ujarnya.