Gol tunggal Pellè bantu Shandong Luneng FC tewaskan JDT di Larkin

Aksi penyerang Harimau Selatan, Diogo Santo ketika perlawanan Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia menentang Shandong Luneng di Stadium Larkin, sebentar tadi.
Aksi penyerang Harimau Selatan, Diogo Santo ketika perlawanan Kumpulan E Liga Juara-Juara Asia menentang Shandong Luneng di Stadium Larkin, sebentar tadi.
A
A
A

SHANDONG Luneng FC mengukuhkan cengkaman selaku pendahulu Kumpulan E, Liga Juara-Juara Asia (ACL) 2019, selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Larkin, sebentar tadi.

Jaringan tunggal pasukan pelawat dijaringkan oleh Graziano Pellè.

Beraksi di hadapan ribuan penyokong sendiri, JDT mempamerkan aksi bertenaga untuk menyaingi pasukan lawan dan berjaya melakukan beberapa siri serangan menerusi gerakan Diogo Santo, Syafiq Ahmad dan Akhyar Rashid.

Tuan rumah mempunyai peluang untuk memecah kebuntuan pada minit ke-10 menerusi Diogo Santo, namun sepakan dari luar kotak penalti yang dilakukan tidak tepat ke gawang lawan.

Pellè bagaimanapun mencipta jaringan pada minit ke-22, selepas berjaya menghidu peluang yang hadir sekali gus merembat masuk bola ke gawang JDT menewaskan penjaga gol tuan rumah, Izham Tarmizi.

Dalam aksi separuh masa kedua, JDT melakukan pertukaran dengan memasukkan Safawi Rasid dan Gonzalo Cabrera dalam usaha mencari jaringan penyamaan bagi mengubah keputusan perlawanan.

Bagaimanapun, tiada sebarang jaringan berjaya dilakukan kedua-dua pasukan dan keputusan 1-0 memihak kepada Shandong Luneng FC tidak berubah sehingga pengadil perlawanan meniupkan wisel penamat.

Kekalahan tersebut menyaksikan JDT mencatatkan tiga kekalahan dan satu seri dalam aksi peringkat kumpulan, selepas menempuh empat perlawanan.

Artikel Berkaitan: