Fasiliti Universiade setanding Olimpik

Pekan (dua dari kanan) bersama delegasi Malaysia ketika meninjau venue Universiade di Chengdu. - Foto Facebook Sukan IPT
Pekan (dua dari kanan) bersama delegasi Malaysia ketika meninjau venue Universiade di Chengdu. - Foto Facebook Sukan IPT
A
A
A

TUAN rumah Sukan Universiti Dunia (Universiade) Chengdu, China sudah bersedia untuk menganjurkan temasya tersebut yang dijadualkan pada 27 Julai hingga 8 Ogos depan.

Perkembangan tersebut dimaklumkan oleh Timbalan Setiausaha Bahagian, Seksyen Sukan, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT), Datuk Dr Pekan Ramli pada Rabu.

"Opening (pembukaan) Julai nanti, tapi kebanyakan venue macam boleh mula dah esok," katanya menerusi catatan di Facebooknya.

Makluman perkembangan persiapan itu dibuat selepas lawatan dan taklimat di sebahagian venue yang diberikan kepada ketua-ketua delegasi negara peserta Universiade Chengdu.

Pekan turut meluahkan rasa kagum dengan komitmen tuan rumah menguruskan persiapan Universiade itu yang boleh dianggap setaraf mengelolakan Sukan Olimpik.

"Spesifikasinya sangat tinggi. Kemajuan teknologi yang digunakan berkelas dunia," katanya.

Tambahnya, biarpun temasya tersebut ditangguhkan akibat pandemik Covid-19, namun tuan rumah tetap bersemangat untuk menyiapkan semua kemudahan buat para atlet.

"Mungkin disebabkan acara telah tertangguh selama dua tahun, tetapi yang menakjubkan komitmen dan bersemangat tinggi rakyat Chengdu dan China tetap jitu dan tidak berubah," katanya.

Menurut Pekan, Chengdu juga dikenali sebagai Country of Heaven dan dipercayai segalanya yang dihajatkan boleh ditunaikan di sini sesuai dengan tagline Make Dreams Comes True.

"Apakah impian kontinjen Universiti Malaysia untuk menggapai emas sulung di Universiade akan menjadi kenyataan," katanya.

Kontinjen negara akan mengambil bahagian dalam lapan jenis sukan iaitu badminton, wushu, terjun, olahraga, memanah, taekwondo, menembak dan renang.