Alasan UiTM tolak dialog bersama Syed Saddiq tidak munasabah - Muda

Parti Ikatan Demokratik Malaysia
Parti Ikatan Demokratik Malaysia
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) kesal dengan jawapan balas pihak pengurusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam yang menolak permohonan untuk mengadakan dialog ‘Intern Bukan Buruh Paksa’ bersama Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Setiausaha Agungnya, Amir Hadi berkata, program yang dijadualkan berlangsung pada Khamis, jam 10 malam di Dataran Cendekia, UiTM Shah Alam itu ditolak dengan alasan ingin mengekalkan keharmonian kampus.

Selain itu, universiti itu memberikan alasan untuk fokus kepada program kerohanian di bulan Ramadan.

“Alasan yang diberikan tidak boleh diterima sama sekali. Ia juga bertentangan dengan semangat Kerajaan Perpaduan yang ditunjangi oleh kumpulan progresif yang telah sekian lama berbicara tentang isu kebebasan akademik.

“Tindakan UiTM menyekat program dialog sebegini diadakan adalah sebab mengapa #JelajahMansuhAUKU telah digerakkan oleh kumpulan mahasiswa ini. Universiti yang sepatutnya menjadi pentas perbahasan, disekat menggunakan undang-undang yang sudah lapuk, selain daripada isu-isu berbangkit perihal mahasiswa yang lain.

“Isu pelajar yang dilayan seperti buruh paksa tanpa sebarang bayaran untuk latihan industri juga bukan isu baharu dan mesti diselesaikan segera. Sudahlah masalah tidak selesai, berbicara juga disekat,” katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Jelas Amir, universiti harus lebih terbuka dan Muda akan menyokong segala usaha mahasiswa menuntut autonomi dan kebebasan akademik.

Parti itu juga katanya, bersedia bersama bagi memastikan undang-undang lapuk seperti Akta Universiti dan Kolej Universiti serta Akta 174 dimansuhkan dan digantikan dengan undang-undang yang tidak lagi menyekat mahasiswa.

“Memansuhkan AUKU adalah salah satu daripada janji Pakatan Harapan dalam manifesto sebelum PRU15 (Pilihan Raya Umum ke-15) yang mesti dilaksanakan.

“Syabas buat Mahasiswa Demokratik yang berdiri teguh untuk meneruskan acara walau disekat dan Muda juga menyatakan komitmen untuk hadir bersama pada 30 Mac ini,” jelasnya.