Saman fitnah Teresa Kok: Jamal diperintah deposit RM300,000

Jamal Md Yunos (left) and Teresa Kok - FILEPIC
Jamal Md Yunos (left) and Teresa Kok - FILEPIC
A
A
A

PUTRAJAYA - Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar, Datuk Seri Jamal Md Yunos diperintahkan supaya mendepositkan RM300,000 ke dalam akaun peguam bekas Menteri Industri Utama, Teresa Kok Suh Sim dalam tempoh 21 hari mulai hari ini, sementara selesai rayuan di Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan, diketuai Datuk Yaacob Md Sam membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan Jamal untuk menangguhkan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur berhubung ganti rugi RM300,000 kepada Teresa.

"Setelah mempertimbangkan penghujahan, kami mendapati ada merit permohonan ini dibenarkan, tetapi dengan syarat jumlah penghakiman RM300,000 didepositkan ke dalam akaun peguam Teresa dan dipegang sebagai pemegang amanah, sementara menunggu penyelesaian rayuan di Mahkamah Rayuan," kata Yaacob yang bersidang bersama Datuk M. Gunalan dan Datuk Azimah Omar.

Teresa dianugerahkan ganti rugi sebanyak RM300,000 oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur selepas berjaya dalam saman fitnah terhadap Jamal berhubung dakwaan penyalahgunaan dana Yayasan Warisan Anak Selangor (Yawas). Jamal kemudiannya merayu atas keputusan itu.

Semasa Yaacob menyoal sama ada mahkamah boleh memerintahkan wang tersebut dibayar dalam tempoh 14 hari mulai hari ini, peguam Rejinder Singh yang mewakili Jamal, memohon tempoh sebulan kerana anak guamnya akan mencari dana.

Bagaimanapun, Azimah mencelah dengan mengatakan bahawa terdapat pengesahan dalam afidavit Jamal bahawa dia mempunyai wang itu.

Yaacob kemudiannya memerintahkan supaya wang itu dibayar dalam tempoh 21 hari sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Terdahulu, Rejinder memohon penangguhan kerana jumlah penghakiman fitnah, ditambah dengan kos, adalah jumlah yang besar dan rayuan utama mungkin menjadi tidak berguna jika penangguhan itu tidak diberikan.

Beliau berkata, Jamal adalah ahli politik dan status muflis akan menjejaskannya untuk bertanding pada pilihan raya negeri akan datang.

Bagaimanapun, peguam Datuk S.N. Nair yang mewakili Teresa berhujah bahawa Jamal sudah mempunyai wang yang mencukupi melalui pendanaan awam dan dia sepatutnya membayar kepada Teresa.

Pada 26 Julai tahun lepas, Pesuruhjaya Kehakiman Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Arief Emran Arifin dalam penghakimannya turut memerintahkan Jamal membayar kos RM50,000 kepada Teresa.

Teresa memfailkan saman tersebut pada 6 April 2017, mendakwa Jamal telah mengeluarkan kenyataan berbaur fitnah terhadapnya berkaitan dana Yawas ketika mengadakan sidang media pada 8 Mac 2017.

Dalam penyataan tuntutan, Teresa mendakwa kenyataan berkenaan telah disiarkan oleh media cetak dan elektronik termasuk dalam laman sosial Facebook milik Jamal.

Beliau mendakwa kenyataan fitnah itu antara lain memberikan gambaran bahawa beliau telah menyalahgunakan dana kerajaan negeri untuk kegunaan sendiri dan seorang yang tidak beretika. - Bernama