Damok mahu peraga tunggangan lebih baik di GP Argentina

Damok bersemangat untuk menghadapi GP Argentina.
Damok bersemangat untuk menghadapi GP Argentina.
A
A
A

PELUMBA Moto3 negara, Syarifuddin Azman tekad menampilkan aksi lebih baik pada pusingan kedua di Grand Prix (GP) Argentina, minggu ini.

Menurut pelumba MT Helmets-MSL berusia 21 tahun itu yang lebih dikenali sebagai Damok berkata, persembahan pertamanya beraksi di GP Portugal minggu lalu merupakan pengalaman berharga selepas menamatkan saingan di kedudukan ke-22.

"Ini adalah perlumbaan pertama saya di kejuaraan dunia, jadi saya perlu kekal positif dan berfikiran ke hadapan untuk memperbaiki diri saya. Banyak lagi perkara yang perlu saya belajar dengan jentera baharu saya.

"Seperti semua tahu, saya ada lagi banyak perlumbaan. Jadi saya akan bawa semua pengalaman ke perlumbaan seterusnya di Argentina.

"Saya harap semua dapat doakan saya selamat dalam kesemua perlumbaan saya," katanya.

Damok yang melengkapkan saingan membabitkan 19 pusingan di Litar Antarabangsa Algrave, Portimao, selatan Portugal dengan catatan keseluruhan 34 minit 57.030 saat.

Beliau membuat penampilan sulungnya dalam Moto3 sebagai pelumba wildcard pada GP Aragon 2021, membuat empat lagi penyertaan wildcard tahun lalu, iaitu di GP Portugal, Sepanyol, Catalunya dan Malaysia.

Kempen 2023 menyaksikan sebanyak 21 pusingan perlumbaan berlangsung dengan Malaysia menjadi venue bagi pusingan ke-19 dari 10 hingga 12 November ini.