Segera reformasi SPRM, Jabatan Peguam Negara - Bersih

SPRM
SPRM
A
A
A

SHAH ALAM - Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) menggesa supaya kerajaan mempercepatkan reformasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan lantikan Ketua Pesuruhjayanya yang perlu diteliti oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JPKP).

Jawatankuasa Pemandu Bersih dalam kenyataan berkata, ia adalah bagi mengukuhkan autonomi institusi dan menyingkirkan persepsi pendakwaan terpilih yang dikenakan kepada mantan perdana menteri serta ahli parlimen pembangkang.

“Bersih menyambut baik kenyataan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa beliau bersetuju untuk meletakkan SPRM di bawah Parlimen dan proses pelantikan Ketua Pesuruhjayanya diteliti oleh JPKP.

“Perdana Menteri menyebut bahawa beliau tidak ada bantahan untuk mereformasi proses pelantikan. Bersih, Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (Ideas) dan Transparency International-Malaysia antara badan yang mencadangkan mekanisme yang terperinci.

“Kami memahami sebarang mekanisme reformasi perlu melalui Jabatan Peguam Negara (AGC) dan diteliti oleh JPKP, serta berharap agar perkara tersebut dilakukan dengan telus dan melibatkan penyertaan pertubuhan masyarakat sivil,” katanya dalam hantaran pada Selasa.

Tambah Bersih, persetujuan daripada Perdana Menteri untuk memisahkan Jabatan Peguam Negara daripada pendakwa raya juga turut dialu-alukan.

“Akhir sekali, kami memuji usaha Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul untuk memperkasakan Parlimen, terutamanya bagi mencadangkan JPKP untuk pelantikan jawatan utama dalam agensi kerajaan seperti SPRM dan SPR,” jelasnya.