PH Melaka sambut baik Kerajaan Perpaduan

Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Ab Rauf, Poay Tiong
Laporan Sinar Harian. Gambar kecil: Ab Rauf, Poay Tiong
A
A
A

MELAKA - Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong menyambut baik dan mengalu-alukan langkah pembentukan Kerajaan Perpaduan di negeri ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) berkata, sudah tiba masa di negeri-negeri juga dapat direalisasikan Kerajaan Perpaduan selaras penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat pusat.

Menurut beliau, sejak wujudnya Kerajaan Perpaduan yang diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim, segala urusan pentadbiran sehingga kini berjalan lancar tanpa sebarang masalah mahupun perbalahan.

Kata beliau, seperti mana titah Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah bahawa kesepakatan, kerjasama semua pihak perlu, supaya kerajaan lebih kukuh dan boleh menumpukan perhatian menjaga kepentingan rakyat serta memulihkan ekonomi.

"Saya lihat kalau kita mengambil pendekatan semangat Kerajaan Perpaduan, kita memang boleh bekerjasama atas matlamat utama iaitu demi kepentingan rakyat seperti mana yang dinyatakan Yang di-Pertuan Agong.

"Saya rasa ini ke arah yang lebih baik, " katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

Bagi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kesidang, Alex Seah Shoo Chin berkata, selagi belum ada sebarang perbincangan mengenai hal itu beliau enggan mengulas lanjut tentang bayangan Kerajaan Perpaduan di Melaka.

"Ia begitu sensitif, kalau telah ada perbincangan baru kita boleh berikan komen," katanya ringkas.

Sementara itu, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, setakat ini beliau tidak menerima sebarang arahan daripada pucuk pimpinan parti dan akan menunggu sebarang perubahan yang akan berlaku kelak.

Beliau yang juga ADUN Tanjung Bidara berpandangan, kenyataan Kerajaan Perpaduan yang dinyatakan Timbalan Perdana Menteri yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi merujuk kepada kerajaan negeri Selangor yang mengiktiraf Barisan Nasional (BN) sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan.

"Jadi kita ni wujud Kerajaan Perpaduan bergantung kepada persetujuan pusat.

"Walaupun Selangor mengiktiraf BN sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan, tapi ia tidak merubah struktur kerajaan negeri sedia ada," katanya.

Media pada Isnin melaporkan Ahmad Zahid memberi bayangan akan berlaku perubahan struktur pentadbiran kerajaan negeri menerusi pembentukan Kerajaan Perpaduan di Melaka.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu turut mengesahkan kerajaan ketika ini menuju kepada usaha pembentukan itu.