'Tolong kembalikan geran kereta saya!'

Video memaparkan kejadian pecah kereta di Riverfront City, Sungai Petani pada Jumaat lepas.
Video memaparkan kejadian pecah kereta di Riverfront City, Sungai Petani pada Jumaat lepas.
A
A
A

SUNGAI PETANI - "Saya minta pencuri kembalikan geran kereta saya semula, jika tidak, tindakan lanjut akan dilakukan!"

Demikian tegas Pak Lan, 50-an, mangsa kes pecah kereta yang berlaku di Riverfront City di sini, Jumaat lalu.

Peniaga minyak wangi dari Kepala Batas, Pulau Pinang itu berkata, kejadian kira-kira jam 4 petang itu disedari setelah selesai bertemu rakan untuk menghantar stok jualan.

"Saya kembali ke kereta dalam tempoh kira-kira setengah jam kemudian. Bila saya sampai nampak pintu bonet terbuka sedikit mungkin tidak ditutup rapat.

"Tengok agak pelik dan periksa ada beberapa barangan hilang termasuk geran kereta yang disimpan dalam sebuah kotak di tempat duduk belakang.

"Suspek juga telah melarikan sebuah beg pakaian, stok minyak wangi bernilai kira-kira RM200 dan bateri kereta menyebabkan kenderaan saya tidak dapat bergerak.

"Kalau lihat pada luaran, tiada kesan pecah pada bahagian cermin atau pintu, saya percaya dia cekap melakukan kegiatan ini menggunakan alatan khas," dakwanya.

Dakwa Pak Lan, akibat kejadian itu, dia terpaksa menunggu tempahan bateri baharu untuk membolehkan kenderaannya digerakkan semula setelah lebih kurang sejam tersadai.

Apa yang menghairankan, kejadian berlaku di lokasi tumpuan awam iaitu di tempat letak kereta berhadapan rumah kedai selain laluan tersebut sibuk dengan kehadiran orang ramai yang lalu lalang.

"Saya tidak buat laporan polis lagi, setakat ini ada orang awam yang sempat rakam video setelah melihat situasi mencurigakan itu.

"Berdasarkan maklumat orang awam juga, nombor pendaftaran kenderaan telah diperoleh dan kini sedang mengesan di mana lokasi lelaki itu berada.

"Saya minta cara baik tolong pulangkan geran kereta, jika tak jumpa juga, mungkin saya akan fikirkan tindakan tegas seperti buat laporan polis," katanya.

Dalam masa sama, dia turut mengharapkan agar pengguna lain yang melalui kawasan seumpama itu berhati-hati bagi mengelakkan berdepan situasi sama.

Sebelum ini, tular video berdurasi 2.02 minit memaparkan seorang lelaki meletakkan kenderaan di tempat letak kereta dan masuk ke kereta mangsa, kemudian keluar bersama barangan milik mangsa sebelum beredar pergi.

Video dimuat naik sebuah portal dan tular di media sosial Twitter itu sehingga kini mendapat lebih 90,200 tontonan dan 1,086 tanda suka.