Dua sahabat lepas, bebas tuduhan edar dadah

Kean Yi dan Chen Khang dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan memiliki dan mengedar dadah serta memiliki racun di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, pada Selasa.
Kean Yi dan Chen Khang dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan memiliki dan mengedar dadah serta memiliki racun di Mahkamah Tinggi Johor Bahru, pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Dua sahabat dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini pada Selasa atas pertuduhan mengedar dadah empat tahun lalu.

Keputusan itu dibuat Hakim Noor Hayati Mat ke atas tertuduh, Lim Kean Yi, 32, dan Lee Chen Khang, 27, selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie terhadap pertuduhan itu pada akhir kes pendakwaan dan kedua-dua mereka tidak perlu membela diri.

Dalam alasan penghakimannya, Noor Hayati menyatakan bahawa hasil penilaian daripada semua keterangan yang dikemukakan di mahkamah, mendapati berlaku ralat dalam kes pendakwaan itu.

"Terdapat tiga individu ditahan ketika kejadian, bagaimanapun suspek ketiga bukan sahaja tidak dituduh, malah tidak dipanggil untuk memberi keterangan.

"Pendakwaan perlu buktikan kedua-dua tertuduh ini mempunyai akses ke lokasi kejadian itu, tetapi gagal dan ini menjejaskan kes pendakwaan.

"Oleh itu, kedua-dua tertuduh dilepas dan dibebaskan tanpa perlu membela diri," hujahnya.

Berdasarkan kertas pertuduhan, mereka secara bersama telah mengedar dadah jenis 3,4-Methylenedioxymethamphetamine (MDMA) seberat 202.47 gram di sebuah apartmen servis di Jalan Persiaran Indah Utama di sini, pada jam 12.05 tengah hari, 30 Mei 2019.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum Seksyen 39B(2) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup dengan maksimum 15 kali sebatan, jika sabit kesalahan.

Di mahkamah sama, kedua-dua tertuduh turut dilepas dan dibebaskan bagi dua lagi pertuduhan iaitu secara bersama memiliki dadah jenis ketamin seberat 675.67 gram dan racun jenis Carbamazepine seberat 68.26 gram, di lokasi dan waktu yang sama.

Bagi perbuatan itu, mereka didakwa mengikut Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya 1952 boleh dihukum di bawah Seksyen 12(3) akta sama dan Seksyen 9(1) Akta Racun 1952 boleh dihukum Seksyen 32(2) akta sama dan kedua-duanya dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Norliza Abdullah, manakala tertuduh diwakili Peguam Mohd Daud Ismail dan Hang Lee Ying.