[VIDEO] Anak pengasas Dnars buat tuntutan hadanah penjagaan adik

Irdiena Hakim (dua,kanan) dan ibu saudara, Faradilla (kiri) semasa hadir di Mahkamah Tinggi Syariah, Kota Bharu pada Selasa.
Irdiena Hakim (dua,kanan) dan ibu saudara, Faradilla (kiri) semasa hadir di Mahkamah Tinggi Syariah, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Anak perempuan kepada pengasas kosmetik Dnars, Allahyarhamah Faziani Rohban, Irdiena Hakim Jasman, 20, membuat tuntutan hadanah (hak lawatan, bermesra dan bermalam) terhadap adiknya, Qaseh Khadija Ahmad Shah Rizal, 10, di Mahkamah Tinggi Syariah di sini pada Selasa.

Irdiena Hakim bersama dua lagi plaintif, iaitu neneknya, Khatijah Mirdin,71, dan ibu saudara, Faradilla Rohban Ahmad, 36, diwakili oleh dua Peguam Syarie, Naimah Saupi dan Wan Shaharuddin Mohamed.

Bagaimanapun defendan, Ahmad Shah Rizal Ibrahim, 46, yang merupakan bekas bapa tiri Irdiena Hakim tidak menghadirkan diri semasa proses perbicaraan.

Irdiena Hakim berkata, tindakan defendan tidak hadirkan diri cukup mengecewakan dan memberikan kesan kepada dirinya.

Irdiena Hakim
Irdiena Hakim

"Saya hendak hak penjagaan adik. Kalau dia seorang yang bertimbang rasa, hak penjagaan diberikan kepada saya.

"Hal ini kerana saya mampu untuk menjaga adik," katanya semasa sidang akhbar di sini.

Irdiena Hakim memberitahu, dia bukan hendak mengambil hak penjagaan sepenuhnya tetapi jika setiap kali ke Kuala Lumpur atau musim perayaan, mereka boleh bebas berjumpa.

Dakwa anak kedua pengasas kosmetik Dnars itu, defendan merupakan seorang berhati kering dan cuba memutuskan silaturahim.

"Sekarang ini saya tidak mahu keputusan dari defendan tapi dari Qaseh sendiri.

"Sama ada hendak duduk dengan saya atau tidak," ujarnya.

Menurut dia, namun defendan tidak memberi kerjasama dan sukar hendak dihubungi.

Irdiena Hakim memberitahu, walau apapun terjadi dia dan Qaseh lahir dari ibu yang sama dan sempat membesar bersama.

Tambahnya, apabila perpisahan tersebut berlaku dia sangat terkesan sehinggakan perlu mendapatkan rawatan daripada doktor psikologi.