Pegawai Hui Ying mohon maaf, tak sangka terima soalan ke-16

Laporan Sinar Harian pada Isnin.
Laporan Sinar Harian pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Swee Kuan memohon maaf susulan kegagalan Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying menjawab soalan yang dikemukakan di Dewan Rakyat pada Isnin.

Dalam satu kenyataan, Swee Kuan menjelaskan, perkara itu merupakan sesuatu di luar kelaziman kerana kebiasaannya proses penyediaan jawapan lisan berdasarkan bilangan maksimum soalan yang boleh dijawab oleh semua kementerian iaitu antara 11 hingga 13 soalan untuk dijawab dalam tempoh 90 minit.

"Pegawai akan memberi taklimat secara terperinci kepada menteri atau timbalan menteri yang akan menjawab bagi soalan yang muncul pada 15 soalan pertama.

"Pihak kami telah menyediakan jawapan terperinci bagi tiga soalan iaitu soalan keempat, kelapan dan ke-11. Timbalan Menteri juga telah menjawab kesemua tiga soalan seperti kelaziman di Dewan yang mulia pagi tadi.

"Tanpa diduga pada hari ini kami telah menerima soalan ke-16 pada jam 11.35 pagi," katanya pada Isnin.

Justeru, pihaknya memberi jaminan akan mengambil langkah yang lebih proaktif untuk mengelak perkara seumpama itu berulang.

Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor menegur Hui Ying selepas memaklumkan dirinya tidak menyediakan jawapan terhadap soalan yang dibangkitkan Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN - Pengkalan Chepa).

Jelas Ramli, situasi sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana menteri atau timbalan menteri perlu bersedia dengan jawapan yang akan dibangkitkan oleh Ahli Dewan Rakyat.

Ahmad Marzuk dalam sesi pertanyaan jawab lisan meminta Kementerian Pendidikan Malaysia menyatakan mengenai peruntukan dan mekanisme pemantauan makanan Program Rancangan Khas (RMT).

Susulan itu juga, ahli Parlimen blok pembangkang dalam sidang akhbar di Parlimen mendesak supaya Hui Ying supaya meletak jawatan.