Gagal jawab soalan, timbalan menteri didesak letak jawatan

Ahmad Marzuk (empat dari kanan) ketika sidang akhbar di Parlimen di sini pada Isnin.
Ahmad Marzuk (empat dari kanan) ketika sidang akhbar di Parlimen di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ahli Parlimen blok pembangkang mendesak supaya Timbalan Menteri Pendidikan, Lim Hui Ying supaya meletak jawatan kerana didakwa gagal menjawab soalan yang dikemukakan di Dewan Rakyat.

Datuk Ahmad Marzuk Shaary (PN - Pengkalan Chepa) berkata, tidak pernah berlaku sebelum ini mana-mana menteri atau timbalan yang hadir dalam persidangan gagal menjawab soalan yang dikemukakan.

“Ini jelas satu pembaziran kepada kerajaan. Tidak pernah berlaku sebelum ini mana-mana menteri atau timbalan menteri yang tidak bersedia menjawab soalan yang dibangkitkan.

“Jadi, saya minta timbalan menteri yang tidak kompeten ini letak jawatan. Keadaan seperti ini tidak sepatutnya berlaku kerana soalan sememangnya telah disediakan awal tetapi saya tidak tahu sekiranya timbalan menteri tidak masuk ke pejabat.

“Kami (pembangkang) pernah menjadi menteri dan timbalan menteri sebelum ini. Kita tahu jawapan telah disediakan lama,” katanya ketika sidang akhbar di Parlimen di sini pada Isnin.

Terdahulu, Timbalan Yang Speaker Dewan Rakyat, Datuk Ramli Mohd Nor menegur Hui Ying selepas memaklumkan dirinya tidak menyediakan jawapan terhadap soalan yang dibangkitkan Ahmad Marzuk.

Jelas Ramli, situasi sedemikian tidak sepatutnya berlaku kerana menteri atau timbalan menteri perlu bersedia dengan jawapan yang akan dibangkitkan oleh ahli Dewan Rakyat.

Ahmad Marzuk dalam sesi pertanyaan jawab lisan meminta Kementerian Pendidikan (KPM) menyatakan mengenai peruntukan dan mekanisme pemantauan makanan Program Rancangan Khas (RMT).