Lawan beraksi bagus, Zii Jia tekad usaha lebih gigih

Zii Jia tewas kepada pemain Jepun pada aksi separuh akhir Terbuka Switzerland. - Foto Badminton Photo
Zii Jia tewas kepada pemain Jepun pada aksi separuh akhir Terbuka Switzerland. - Foto Badminton Photo
A
A
A

KEJAYAAN mara ke separuh akhir Terbuka Switzerland dianggap sebagai pencapaian yang baik buat pemain perseorangan lelaki profesional negara, Lee Zii Jia.

Impian pemain di ranking keempat dunia itu untuk mara ke pentas final kejohanan bertaraf Super 300 tersebut tidak kesampaian setelah tewas kepada Koki Watanabe dari Jepun pada aksi separuh akhir.

“Mara ke separuh akhir, satu keputusan yang baik,” ujar Zii Jia ketika ditemu bual pegawai media Terbuka Switzerland, Andreas Schmid.

Pada aksi yang berlangsung di St Jakobshalle Basel itu, Zii Jia tewas 11-21, 14-21 di tangan Watanabe dalam tempoh 27 minit.

Pemain yang berasal dari Alor Setar, Kedah itu turut mengakui Watanabe beraksi dengan lebih baik berbanding dirinya.

“Dia (Watanabe) bermain dengan begitu baik. Saya fikir dalam setiap perlawanan ada menang dan ada kalah,” katanya.

Justeru, pemain berusia 25 tahun itu bertekad untuk bekerja lebih keras bagi mengharungi kejohanan akan datang.

“Jadi saya perlu berusaha dengan lebih gigih lagi selepas ini,” ujar Zii Jia.

Sebagai rekod, ia adalah separuh akhir keduanya buat dirinya bagi musim ini selepas turut mara ke pentas saingan sama di Seluruh England minggu lalu.

Zii Jia dua minggu lalu dikejutkan oleh pemain di ranking ke-49 dunia, Lee Chia Hao dari Taiwan apabila tewas 21-15, 20-22, 21-23 pada pusingan kedua terbuka Jerman.