Guan Eng saman Muhyiddin

Guan Eng, Muhyiddin
Guan Eng, Muhyiddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi DAP, Lim Guan Eng memfailkan saman fitnah terhadap Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung tuduhan mengaitkannya dengan pembatalan cukai kepada Yayasan Albukhary.

Guan Eng, 63, selaku plaintif memfailkan writ saman itu di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin melalui Tetuan Guok Partnership dengan menamakan bekas Perdana Menteri itu sebagai defendan tunggal.

Menerusi pernyataan tuntutannya, Guan Eng berkata, Muhyiddin yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memfitnah dalam laman Facebook miliknya selepas dibebaskan daripada tahanan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada 9 Mac lalu

Guan Eng mendakwa, kenyataan fitnah itu antara lain membawa maksud beliau selaku Menteri Kewangan (ketika itu) telah membatalkan pengecualian cukai yang diluluskan kepada Yayasan Al-Bukhary.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Bagan berkata, kenyataan itu sengaja dibuat bertujuan mencari publisiti murahan dan cuba mengalih perhatian awam kerana Muhyiddin mengetahui bahawa semua perhatian media dan akhbar ketika itu tertumpu kepadanya.

“Ia juga membawa maksud saya menyalahgunakan kedudukan dan kuasa mengarahkan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengenakan cukai dan penalti ke atas yayasan kebajikan, walhal ia tidak patut dikenakan cukai.

“Kenyataan Muhyiddin membawa maksud saya sengaja mensabotaj yayasan itu yang terlibat dalam pelbagai kerja amal,” kata pernyataan tuntutan itu.

Justeru itu, Muhyiddin diminta untuk membuat permohonan maaf dan menarik balik tiga kenyataan fitnah itu, menerbitkannya dalam akaun Facebook serta Twitter milik Ahli Parlimen Pagoh itu dan disiarkan dalam semua surat khabar di negara ini dalam masa tujuh hari dari tarikh penghakiman.

Plaintif turut memohon ganti rugi am, ganti rugi teruk dan punitif serta injunksi menghalang defendan atau ejennya daripada mengeluarkan atau menerbitkan kenyataan fitnah.

Pada 22 Mac lalu, Sinar Harian melaporkan, Guan Eng membuat laporan polis terhadap Muhyiddin berhubung tuduhan tersebut.

Guan Eng berkata, laporan tersebut dibuat selepas mendapati kenyataan Muhyiddin mengulangi fitnah terhadap beliau dalam satu kenyataan media dan sidang media pada 11 dan 12 Mac lepas.

Guan Eng turut mencabar Muhyiddin untuk menunjukkan bukti bahawa beliau membatalkan pengecualian cukai terhadap yayasan berkenaan.