Dua beradik didakwa rasuah polis RM25,000

Dua beradik mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memberi rasuah RM25,000 kepada pegawai polis di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Isnin.
Dua beradik mengaku tidak bersalah atas satu pertuduhan memberi rasuah RM25,000 kepada pegawai polis di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dua beradik termasuk seorang pengarah syarikat mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Isnin, atas satu pertuduhan memberi rasuah RM25,000 kepada pegawai polis agar dapat mengelak daripada dikenakan tindakan mengedar minuman keras tanpa cukai sah, tahun lalu.

Pengarah syarikat, A Vijayakumar, 47, dan adiknya, pembantu kedai, A Ragubathi, 42, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan, mereka didakwa dengan niat bersama memberikan suapan dengan jumlah itu kepada seorang penolong penguasa polis, berusia 47 tahun, yang bertugas di cawangan Perisikan dan Siasatan Khas Pasukan Gerakan Khas Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam Bukit Aman.

Ia sebagai dorongan supaya polis itu melepaskan mereka daripada dikenakan tindakan mengikut Seksyen 135 Akta Kastam 1967 kerana kesalahan mengedar minuman keras tanpa cukai sah, di sebuah restoran di Plaza Metro Prima, Kepong, di sini, pada 28 Jun 2022.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Irna Juliza Maaras manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam, R Mahendran Naidu.

Azura membenarkan setiap tertuduh diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin serta memenuhi syarat tambahan seperti mana dicadangkan pendakwaan.

Mahkamah menetapkan sebutan semula kes pada 23 Mei depan untuk serahan dokumen.