RM239,000 untuk 13 masjid, 29 surau kawasan Jelai

Wan Rosdy menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid dan surau kawasan Jelai di Kampung Tanjung Gahai, Lipis pada Sabtu.
Wan Rosdy menyampaikan sumbangan kepada wakil masjid dan surau kawasan Jelai di Kampung Tanjung Gahai, Lipis pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM239,000 untuk diagihkan kepada 13 masjid dan 29 surau di kawasan Jelai,Lipis.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, peruntukan yang turut melibatkan sumbangan daripada Yayasan Pahang itu bagi mengimarahkan masjid di kawasan itu dengan pelbagai aktiviti bermanfaat pada Ramadan ini.

Menurutnya, penyampaian sumbangan itu diadakan pada majlis berbuka puasa bersama pemimpin masjid dan pemimpin komuniti kawasan Jelai di Kampung Tanjung Gahai, Lipis pada Sabtu.

"Pada majlis itu, Perbadanan Kemajuan Cameron Highlands (PKCH) menyampaikan sumbangan RM45,000 kepada masjid dan surau di Cameron Highlands.

"Tenaga Nasional Berhad (TNB) pula menyumbang RM42,700 berupa sumbangan solar kepada Masjid Tanjung Gahai bernilai RM22,700 dan sumbangan 'Ceria Ke Sekolah' bernilai RM20,000," katanya dalam kenyataan di Facebooknya.

Wan Rosdy berkata, sumbangan RM5,000 diberikan kepada Maahad Tahfiz Ar-Rushd pada majlis itu.

"Melalui pemberian sumbangan ini, diharapkan masjid dan surau dapat diimarahkan dengan pelbagai aktiviti bermanfaat sepanjang Ramadan ini," katanya.