Agong, Raja Permaisuri berbuka puasa bersama PM, jemaah menteri

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berbuka puasa bersama Tengku Hassanal serta Anwar, Ahmad Zahid dan Fadillah pada Majlis Berbuka Puasa di Istana Negara malam ini. - Foto Bernama
Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berkenan berbuka puasa bersama Tengku Hassanal serta Anwar, Ahmad Zahid dan Fadillah pada Majlis Berbuka Puasa di Istana Negara malam ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan berangkat ke majlis berbuka puasa bersama jemaah menteri dan perwakilan asing di Istana Negara, di sini malam ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang pulang daripada lawatan kerja rasmi ke Arab Saudi petang tadi, turut hadir pada majlis itu.

Turut hadir kedua-dua Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof.

Tunku Azizah berkenan berangkat tiba bersamanWan Azizah pada Majlis Berbuka Puasa di Istana Negara malam ini. - Foto Bernama
Tunku Azizah berkenan berangkat tiba bersamanWan Azizah pada Majlis Berbuka Puasa di Istana Negara malam ini. - Foto Bernama

Antara jemaah menteri yang hadir ialah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail; Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir serta timbalan-timbalan menteri.

Individu kenamaan lain yang turut hadir pada majlis itu ialah Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat; Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Zuki Ali dan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Johari Abdul serta Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Dr Rais Yatim.

Majlis itu turut dihadiri perwakilan asing antaranya dari Yaman, Turkiye, Arab Saudi, Syria, Jordan, Mesir, Senegal, Palestin, Bangladesh, Libya, India dan Brunei.

Seramai 15 penuntut dan seorang guru dari Pusat Tahfiz Darus Syabab Kepong turut menyertai majlis itu.

Seri Paduka berdua juga berkenan menunaikan solat fardu maghrib berjemaah bersama tetamu yang diimamkan Penolong Pegawai Agama Istana Negara, Mohd Zuhairee Mohd Yatim di Surau Istana Negara. - Bernama