PRN: PN sudah ada calon MB Selangor, Negeri Sembilan

Abdul Hadi menerima replika cek daripada penyumbang dengan diiringi Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) ketika Iftar Ramadan sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria di Kuala Lumpur pada Sabtu.
Abdul Hadi menerima replika cek daripada penyumbang dengan diiringi Muhammad Sanusi (tiga dari kanan) ketika Iftar Ramadan sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria di Kuala Lumpur pada Sabtu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Perikatan Nasional (PN) telah memuktamadkan calon Menteri Besar atau 'poster boy' mereka di Selangor dan Negeri Sembilan bagi menghadapi enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Ketua Pengarah Pilihan Raya PN, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor berkata, pihaknya yakin mampu merampas semula kedua-dua negeri berkenaan selain mengambil sebahagian kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang.

"PN dah ada calon Menteri Besar di Selangor dan Negeri Sembilan iaitu calon 'poster boy' kita. Kita akan ketengahkan calon Menteri Besar kita.

"Kita dah siap sedia untuk berjuang dan akan pertahankan negeri (pimpinan) kita serta akan ambil negeri Pakatan Harapan (PH)," katanya dalam sidang akhbar pada Iftar Ramadan sempena Kempen Dana #Aid4Turkiye&Syria anjuran PasRelief di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Pas, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man dan Naib Presiden Pas, Datuk Idris Ahmad.

Mengulas lanjut, Muhammad Sanusi yang juga Pengerusi PasRelief memberitahu, bagi berdepan PRN, PN telah hampir selesai pembahagian kerusi di enam negeri yang terlibat.

"Kita juga telah lancarkan jentera PRN iaitu gegar gempur 100 hari selain menubuhkan jawatankuasa jentera PRN di peringkat DUN, Parlimen dan negeri," ujarnya.

Muhammad Sanusi berkata, PN turut melantik mas'ul atau koordinator di enam negeri yang terlibat PRN membabitkan pemimpin Pas dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).

Menurutnya, di Negeri Sembilan koordinator yang dilantik adalah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, Idris (Pulau Pinang) dan Tuan Ibrahim serta Datuk Dr Mohd Radzi Md Jidin di Selangor.

"Dengan pendekatan ini kalau ada isu yang timbul, mas'ul akan bincangkan agar ia boleh diselesaikan dengan cepat dan pantas," ujarnya.

Katanya, PN menjangkakan PRN akan diadakan pada minggu keempat Julai atau minggu pertama Ogos nanti.