Bernhardt dilantik Pengarah Teknikal Kelantan FC

Frank Bernhardt
Frank Bernhardt
A
A
A

BEKAS pengendali skuad Bawah 23 (B-23) negara, Frank Bernhardt dilantik sebagai Pengarah Teknikal Kelantan FC bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.

Dalam kenyataan pada Sabtu, Kelantan FC memaklumkan, pelantikan Bernhardt itu bagi menggantikan pengarah teknikal sebelum ini, Nasir Yusuf.

“Beliau (Bernhardt) mempunyai pengalaman sebagai ketua jurulatih bersama skuad B-23 Malaysia dan UiTM FC yang beraksi pada saingan Liga-M.

“Jurulatih berasal dari Kiel, Jerman ini juga memiliki sijil kejurulatihan UEFA Pro daripada German Sport University di Cologne, selain pernah menjadi Pengarah Teknikal Estonia FA (2007-2012) dan Azerbaijan FA (2014-2017),” menurut kenyataan itu.

Menurut Kelantan FC, pelantikan pengarah teknikal adalah antara syarat wajib dalam pelesenan kelab di bawah Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

Bernhardt yang pernah bermain untuk kelab Werder Bremen, akan bertanggungjawab sepenuhnya memantau dan menilai unit kejurulatihan serta hal-hal berkaitan teknikal pasukan.