Kane layak dilabel penyerang terhebat England

Kane - Foto AFP
Kane - Foto AFP
A
A
A

WAYNE Rooney percaya Harry Kane layak dilabel sebagai penyerang terhebat dalam sejarah England selepas kapten The Three Lions itu menjadi penjaring terbanyak sepanjang zaman negaranya.

Kane menjaringkan gol antarabangsanya yang ke-54 ketika England memulakan kempen kelayakan Euro 2024 dengan kemenangan 2-1 ke atas Itali pada Jumaat sekali gus melepasi rekod 53 gol milik Rooney.

Rooney memberikan sokongan kepada Kane untuk meledak lebih banyak gol bersama England dan meletakkan sasaran sukar untuk dicapai oleh penyerang England pada masa depan.

"Apabila saya memecahkan rekod menjaringkan gol England melalui penalti menentang Switzerland pada September 2015, Harry Kane adalah pemain pertama yang berlari dan meraikan bersama saya.

"Saya tahu dia boleh menjadi penjaring terhebat England jika dia terus bermain seperti ini dan saya mahu memberinya semangat.

"Saya percaya apabila dia berhenti bermain, dia akan meninggalkan rekod England di tempat yang sukar untuk orang lain memecahkannya," katanya.

Walaupun Kane masih belum memberikan sebarang inspirasi kepada pasukan Gareth Southgate untuk menjulang kejohanan utama, Rooney percaya pemain berusia 29 tahun itu sudah mempunyai legasi yang lebih mengagumkan berbanding penyerang England yang lain.