PM UK gesa kurangkan ketegangan di Tebing Barat

Wanita Palestin menunggu untuk menyeberangi pos pemeriksaan Qalandia antara Tebing Barat dan Baitulmaqdis, untuk menunaikan solat Jumaat pertama bulan suci Ramadan di Masjidil Aqsa di kota lama Baitulmaqdis pada Jumaat. - Foto EPA
Wanita Palestin menunggu untuk menyeberangi pos pemeriksaan Qalandia antara Tebing Barat dan Baitulmaqdis, untuk menunaikan solat Jumaat pertama bulan suci Ramadan di Masjidil Aqsa di kota lama Baitulmaqdis pada Jumaat. - Foto EPA
A
A
A

LONDON - Perdana Menteri Britain, Rishi Sunak pada Jumaat memberitahu rakan sejawatannya dari Israel, Benjamin Netanyahu mengenai kebimbangan antarabangsa terhadap ketegangan yang semakin meningkat di Tebing Barat, lapor Agensi Anadolu.

Semasa pertemuan dengan Netanyahu di Downing Street, Sunak menyatakan solidaritinya terhadap rakan sejawatannya itu dalam menghadapi 'serangan pengganas' dan UK akan sentiasa menyokong Israel.

"Pada masa yang sama, PM menyuarakan kebimbangan antarabangsa mengenai ketegangan yang semakin meningkat di Tebing Barat dan risiko yang menjejaskan usaha ke arah penyelesaian dua negara," kata Sunak dalam satu kenyataan.

Sunak mahu "semua usaha dilakukan bagi meringankan tekanan," terutama menjelang cuti keagamaan yang akan datang, katanya.

Perdana Menteri Britain itu menekankan akan kepentingan untuk menegakkan nilai demokrasi yang menyokong hubungan antara kedua-dua negara, termasuk cadangan pembaharuan sistem kehakiman di Israel.

Israel berhadapan bantahan besar-besaran selama berminggu-minggu selepas Menteri Kehakiman Yariv Levin mencadangkan pelan pembaharuan sistem kehakiman yang dilihat sebagai "perubahan paling radikal" dalam sistem negara itu.

Dalam perbincangan itu, Sunak dan Netanyahu turut menyambut baik pemeteraian "Pelan Hala Tuju UK-Israel 2030". - Bernama